Mah Sing bakal bina pembangunan kediaman bercampur RM500 juta di Kepong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing bakal bina pembangunan kediaman bercampur RM500 juta di Kepong

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai - Mah Sing Group Bhd akan melaksanakan pembangunan kediaman bercampur, M Zenya, di Kepong dengan jumlah anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Mah Sing berkata M Zenya akan dibangunkan di bawah perjanjian usaha sama tidak diperbadankan yang dijalin melalui anak syarikatnya, Star Residence Sdn Bhd  dengan pemilik tanah, Liberty Triangle Sdn Bhd.

 

Star Residence akan membayar jumlah pertimbangan usaha sama sebanyak RM85.3 juta, yang terdiri daripada hak pemilik tanah sebanyak RM70 juta dan pulangan jaminan tetap sebanyak RM15.3 juta, manakala Mah Sing diberikan hak pembangunan tunggal dan mempunyai kawalan penuh ke atas pengurusan dan operasi projek itu.

 

Mah Sing berkata dua bidang tanah tersebut datang dengan faedah perintah pembangunan dengan nisbah plot yang diluluskan 1:6, di mana hak milik tanah telah ditukar dengan bayaran premium dan kerja tanah sebahagiannya sudah siap.

 

 

 

M Zenya

 

 

Ini menandakan pengambilan tanah keempat kumpulan itu pada tahun ini, menyumbang kepada jumlah gabungan anggaran GDV kira-kira RM5 bilion setakat ini.

 

M Zenya terletak di sebelah Dataran Keponggi dan Tasik Metropolitan, terdiri daripada lot komersil atau runcit dan unit kediaman dengan binaan indikatif antara 718 kaki persegi hingga 1,067 kaki persegi pada harga mampu milik dengan harga permulaan indikatif RM420,000.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk membuka pendaftaran minat pada separuh kedua 2023.

 

Pada waktu penulisan, saham Mah Sing kekal pada 61.5 sen, memberikannya modal pasaran berjumlah RM1.49 bilion. - DagangNews.com