Magni-Tech kekal optimis dengan berhati-hati terhadap prospek FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Magni-Tech kekal optimis dengan berhati-hati terhadap prospek FY24

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mac - Magni-Tech Industries Bhd kekal optimistik dengan berhati-hati terhadap prospek perniagaannya untuk baki suku tahun kewangan semasanya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar pakaian itu berkata, risiko utama kekal dan pemotongan kadar faedah Amerika Syarkat (AS) boleh membawa kepada potensi turun naik pasaran.

 

"Ketegangan geopolitik yang berterusan boleh mengancam pasaran komoditi global dan rantaian bekalan," katanya.

 

Bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2024, keuntungan bersih Magni-Tech meningkat kepada RM39.38 juta daripada RM20.52 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Hasil pada suku ketiga meningkat kepada RM392.19 juta daripada RM281.83 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

 

Pendapatan asas sesaham berada pada 9.08 sen berbanding 4.73 sen sebelumnya.

 

Syarikat itu berkata keuntungan daripada bahagian pakaiannya meningkat 104.9% kepada RM49.15 juta, terutamanya disebabkan hasil yang lebih tinggi, nisbah kos jualan yang bertambah baik dan keuntungan pertukaran asing yang lebih tinggi sebanyak RM4.55 juta.

 

Bagi sembilan bulan berakhir 31 Januari 2024, keuntungan bersih meningkat kepada RM93.89 juta daripada RM69.53 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM1 bilion daripada RM965.77 juta setahun sebelumnya.

 

Magni-Tech juga mengumumkan dividen interim peringkat tunggal ketiga sebanyak 3.5 sen sesaham biasa, yang akan dibayar pada 18 April. - DagangNews.com