M-Hope biaya pembedahan bariatik secara percuma kepada pesakit obes kurang berkemampuan | DagangNews Skip to main content

M-Hope biaya pembedahan bariatik secara percuma kepada pesakit obes kurang berkemampuan

Dr Mustafa Mohammed Taher (kiri) menerima sumbangan sebanyak RM348,000 daripada Persatuan Sukan, Rekreasi, & Kesihatan Kuala Lumpur (SURE Sihat) dan Cengild GI Medical Centre (CGI) bagi menampung rawatan 12 pesakit yang layak.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Sebuah projek kebajikan yang dikenali sebagai M-Hope menawarkan bantuan pembiayaan untuk pembedahan bariatrik secara percuma kepada individu obesiti yang tidak berkemampuan.

 

Pengasas M-Hope, Dr Mustafa Mohammed Taher berkata, pihaknya mendapati ramai individu obes tidak dapat menjalani pembedahan tersebut disebabkan masalah kewangan. 

 

Beliau berkata, lebih menyedihkan, pesakit berisiko diserang penyakit metabolik iaitu diabetik, tekanan darah tinggi, masalah kardiovaskular dan penyakit jantung.

 

Jelasnya, kekangan kewangan itu juga menyebabkan mereka tidak berpeluang menjalani kehidupan sempurna akibat berat badan berlebihan, menyebabkan individu itu mengalami obesiti tahap serius hingga memudaratkan kesihatan tanpa rawatan sewajarnya.

 

“Keadaan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana semua insan berhak menjalani rawatan untuk hidup sihat. Pesakit wajar diberi peluang kedua untuk hidup lebih sihat dan cergas bersama keluarga tersayang selepas menjalani pembedahan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran M-Hope di sini, Jumaat lepas.

 

Dr Mustafa yang juga Pakar Perunding Pembedahan dan Bariatrik berkata, inisiatif bantuan tersebut adalah inspirasi daripada bapanya, di mana kliniknya dibuka pada setiap Jumaat dan pesakit menerima rawatan secara percuma. 

 

“Projek awal ini diharap dapat dimanfaatkan mereka yang begitu memerlukan. Sebelum ini saya mengambil inisiatif secara persendirian menawarkan rawatan percuma kepada pesakit kurang berkemampuan. 

 

"Kini pelbagai pihak tampil membantu bagi membolehkan lebih ramai pesakit dapat dibantu, sekali gus merealisasikan penubuhan M-Hope,” katanya.

 

Katanya, pembedahan bariatrik adalah prosedur terbaik dan selamat, serta rawatan moden itu dilihat sebagai peluang kedua sekali gus memberi nafas baharu kepada pesakit untuk hidup lebih sihat dan cergas selepas menjalani pembedahan.

 

M-Hope diterajui Dr Mustafa dengan kerjasama Persatuan Sukan, Rekreasi, & Kesihatan Kuala Lumpur (SURE Sihat) dan Cengild GI Medical Centre (CGI) dengan sumbangan awal sebanyak RM348,000 yang akan menanggung seramai 12 orang pesakit terpilih. - DagangNews.com