Luno tambah mata wang kripto ke-11, Matic kepada pelabur di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Luno tambah mata wang kripto ke-11, Matic kepada pelabur di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Seiring dengan sambutan ulang tahun ke-10 Luno, bursa aset digital dikawal selia terkemuka di Malaysia itu mengumumkan Polygon (Matic) sebagai peluang pelaburan kripto terbaharu kepada pasaran Malaysia. 

 

Mulai hari ini, pelanggan boleh membeli, menjual dan menyimpan Matic pada aplikasi dan laman web Luno. 

 

Selepas penambahan Avalanche (Avax) pada Mei, mata wang kripto Matic merupakan mata wang kripto kedua yang ditambah pada tahun ini, menjadikan jumlah tawaran coin kepada rakyat Malaysia meningkat kepada sebelas pilihan, berikutan dari usaha untuk Luno terus memastikan para pelabur di Malaysia boleh mendapatkan akses ke peluang pelaburan lebih luas.

 

Pengurus Negara Luno Malaysia, Scarlett Chai, berkata, pihaknya komited untuk konsisten dalam membina dan melabur bagi jangka masa panjang.

 

Katanya, langkah utama untuk mencapainya adalah dengan meningkatkan kebolehcapaian terhadap tawaran kripto yang lebih besar, bukan sahaja untuk 840,000 pelanggan mereka, namun kepada semua bakal pelabur. 

 

"Kami amat mempercayai potensi jangka panjang industri ini, dan kami berharap dalam dapat memulakan perjalanan Luno untuk 10 tahun seterusnya dengan mengembangkan satu lagi pilihan pelaburan untuk semua pelabur di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Chai berkata, sebelum memperkenalkan mata wang kripto terbaru kepada pelanggan untuk melabur atau berdagang, pihaknya akan menjalankan proses yang teliti dan ketat, berdasarkan kriteria-kriteria dari sudut teknikal, kawal selia dan undang-undang. 

 

Beliau berkata, proses-proses ini dilakukan sebagai sebahagian daripada amalan terbaik dalam mengutamakan keselamatan dan keselamatan, dan untuk memberikan ketenangan kepada pelabur.

 

Katanya, pengenalan Matic ini datang dari kerjasama rapat dengan pengawal selia dalam memastikan semua panduan kawal selia dan pematuhan yang diperlukan dipenuhi. 

 

"Kami sentiasa bermatlamat untuk membantu pelanggan membuat keputusan pelaburan terbaik dengan maklumat yang tidak berat sebelah, boleh dipercayai dan mudah difahami. 

 

"Namun begitu, kami amat menggalakkan para pelabur untuk melakukan kajian mereka sendiri sebelum melabur, agar mereka memahami potensi risiko dan juga ganjaran pelaburan mereka," katanya. - DagangNews.com