KUALA LUMPUR 8 Mac - Lee Swee Kiat Group (LSK) terus meneraju pembuatan tilam lateks asli terbesar di Malaysia berikutan langkahnya memperluaskan aktiviti pasaran domestik dan luar negara, kata AmInvest Research.
Permintaan eksport untuk busa lateks kumpulan itu menguncup 32% tahun ke tahun (YoY) pada tahun lalu, namun LSK aktif menyertai pameran dagangan antarabangsa untuk menarik pelanggan baharu, katanya di dalam nota hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, LSK sedang berunding dengan tiga pelanggan berpotensi besar di Amerika Syarikat (AS), Korea dan Australia yang akan dimuktamadkan pada suku kedua dan suku ketiga tahun kewangan 2023 (2Q/3QFY23).
“LSK menjangkakan peningkatan kadar penggunaan loji lateks kepada 70 hingga 80% dalam 2Q/3QFY23 berbanding 50% pada tahun kewangan 2022 (FY22), namun kami kekal mengandaikan ia sebanyak 78% sementara menunggu rundingan selesai,” demikian menurut firma tersebut.
Sementara itu, permintaan domestik kekal kukuh sejak awal tahun berkemungkinan disebabkan pembukaan semula ekonomi di kala penurunan kadar pengangguran dan pertumbuhan gaji yang pantas berbanding kadar inflasi.
“Jualan domestik yang mantap juga didorong oleh pangkalan pelanggan yang diperluas berikutan pelanggan daripada pesaing beralih kepada LSK,” katanya.
Menurut AmInvest, hal tersebut mungkin disebabkan pengguna memilih tilam lateks semula jadi yang mempunyai ketahanan tinggi, mesra alam dan selesa di samping jenama Napure yang sudah dikenali dan jualan perniagaan kepada pengguna (B2C) yang inovatif turut meningkatkan keyakinan pengguna.
Tilam jenama Napure yang mendapat maklum balas positif dalam pasaran eksport di AS dan Eropah bakal diperkenalkan di Malaysia, di mana nilai jualan termasuk gaya hidup sihat dan mesra alam sekitar dan harga mungkin 15% lebih tinggi daripada julat biasa RM3,000 hingga 8,000 setiap tilam, katanya.
Gandingan LSK dan Cuckoo International (Malaysia) (Cuckoo) untuk mengkomersialkan tilam A-series juga selaras dengan ramalan firma itu terhadap penjualannya sebanyak 25,000 pada FY23.
Selain itu, LSK mempunyai kedudukan tunai bersih yang sihat sebanyak RM11 juta iaitu 9% daripada modal pasaran.
Oleh itu, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama pada RM1.02 sesaham. -DagangNews.com








