KUALA LUMPUR 13 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyifatkan keterujaan mengenai operasi pusat data di Johor dan manfaatnya kepada Malakoff Corporation selaku salah satu pengeluar tenaga elektrik terbesar di negeri itu sebagai terlalu digembar-gembur.
Menurut pandangan firma penyelidikan itu, permintaan yang dipacu oleh pusat data tidak akan membawa kepada pendapatan yang lebih tinggi bagi Tanjung Bin Power (TBP) dan Tanjung Bin Energy (TBE).
Katanya, ini kerana dalam model Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) Malaysia untuk loji termal, IPP menerima bayaran kapasiti berdasarkan ketersediaan dan secara konseptual tidak mendapat faedah daripada peningkatan pengeluaran.
"Oleh itu, kenaikan permintaan yang dipacu oleh pusat data tidak akan membawa kepada pendapatan yang lebih tinggi bagi TBP dan TBE, menurut pandangan kami," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Awas keghairahan terhadap pusat data, Maybank IB ingatkan apa berlaku pada gelembung IT lewat 90-an - Maybank IB

Ujar Maybank IB, Malakoff merupakan salah satu pengeluar tenaga elektrik terbesar di Johor, dengan menjalankan secara kumulatif kapasiti pengeluaran sebanyak 3,100 megawatt (MW) di selatan Johor melalui loji arang batu TBP dan TBE.
Sementara itu, Maybank IB percaya kenaikan harga saham tahun ke tarikh (YTD) Malakoff sebagai tidak mempunyai justifikasi wajar.
ARTIKEL BERKAITAN: Pusat data baharu bakal pacu permintaan elektrik 2024, kata RHB Investment
"Malakoff memang telah kembali mencatat untung (susulan normalisasi margin bahan api) tetapi terdapat cabaran jangka pendek dan sederhana berkaitan dengan tempoh tamat konsesi.
"Walaupun Malakoff mempunyai kehadiran di Johor, loji sedia ada tidak mendapat faedah yang ketara dari kenaikan permintaan (elektrik) yang dipacu oleh pusat data," jelasnya.
Justeru, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Jual pada 82 sen, dengan harga sasaran (TP) berasaskan SOP yang tidak berubah sebanyak 55 sen sesaham.

Dalam pada itu, kata Maybank IB, konsesi Prai Power akan tamat tempoh pada Jun 2024 manakala konsesi TBP yang merupakan penyumbang pendapatan terbesar Malakoff bakal tamat pada September 2031.
Katanya, Malakoff kini sedang berusaha untuk mendapatkan lanjutan untuk Prai Power yang berkemungkinan pada tarif yang lebih rendah kerana kos modal telah dipulihkan.
"Bagi TBP, membiayai projek baharu yang cukup besar untuk menggantikan jurang pendapatan yang terhasil (tarif sekali lagi mungkin akan diturunkan walaupun jika dilanjutkan) boleh menjadi satu cabaran.
"Malakoff kini sedang mengusahakan penembakan bersama TBP dengan biojisim (inisiatif NETR). Secara berasingan, konsesi Alam Flora akan tamat tempoh pada Ogos 2032," ujarnya.- DagangNews.com








