LLM jangka 2.4 juta kenderaan guna lebuh raya sempena Tahun Baharu Cina | DagangNews Skip to main content

LLM jangka 2.4 juta kenderaan guna lebuh raya sempena Tahun Baharu Cina

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan sebanyak 2.4 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya pada hari-hari puncak sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

 

Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1.5 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). 

 

Manakala, masing-masing 199,000, 106,000 dan 61,000 kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya KL-Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2.

 

"LLM menjangkakan berlaku peningkatan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan seawal 8 Februari 2024.

 

"Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM telah mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Sazali, syarikat konsesi tidak tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula pada 5 Februari hingga 14 Februari 2024.

 

Katanya, selain itu mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di lokasi-lokasi yang dikenalpasti di Lebuhraya PLUS dan laluan ‘tidal flow’ di Lebuhraya KL-Karak.

 

 

LLM
Datuk Sazali Harun

 

 

"Syarikat konsesi perlu  memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol sementara di beberapa plaza tol yang dikenalpasti mempunyai trafik yang tinggi," katanya.

 

Beliau berkata, pihak LLM menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA oleh pihak PLUS Berhad bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) oleh pihak Anih Berhad bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

 

"Pengguna perlu memastikan baki kad touch and go dan e-dompet adalah mencukupi, selain mengaktifkan ‘pay wave’ di kad debit atau kredit sekiranya menggunakan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) di lebuh raya terpilih," katanya.

 

Tambahnya, untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam mulai 8 Februari hingga 13 Februari 2024.

 

Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan. - DagangNews.com