Lima lagi lebuh raya laksana sistem pembayaran terbuka - LDP, SPRINT, Kesas, SMART dan MEX | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lima lagi lebuh raya laksana sistem pembayaran terbuka - LDP, SPRINT, Kesas, SMART dan MEX

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Lima lagi lebuh raya telah bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran terbuka tol yang dijangka akan dimulakan pada pertengahan September ini.

 

Lima lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX). 

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dengan perkembangan itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan 11 lebuh raya terlibat melaksanakan sistem tersebut bagi kemudahan pengguna.

 

Enam lebuh raya yang diumumkan sebelum ini adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.

 

alex nanta

 

Sementara itu, Alexander Nanta memberitahu, Lebuhraya Sungai Besi juga telah dipilih sebagai lokasi pertama Proof of Concept (POC) pelaksanaan Multi Lane Fast Flow (MLFF) dan akan dimulakan pada penghujung Oktober 2023.

 

“Kementerian juga sedang mengadakan perbincangan bersama syarikat konsesi yang lain bagi mendapatkan satu lagi lebuh raya bagi tujuan pelaksanaan POC MLFF itu,” katanya menerusi Facebook beliau.

 

Beliau memaklumkan, sistem pembayaran terbuka dan MLFF itu tidak boleh dilaksanakan semalaman dan perlu melalui pelbagai peringkat sekali gus ia bukan mudah serta memerlukan perancangan teliti dan melibatkan rundingan pelbagai pihak sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.

 

Justeru, beliau berharap kerjasama semua pihak yang terlibat bagi menjayakan sistem pembayaran terbuka dan pada masa sama memastikan transisi MLFF dapat dilaksanakan secara berfasa selewatnya pada suku ketiga 2024. - DagangNews.com