KUALA LUMPUR 1 Nov - LGMS Bhd telah menandatangani perjanjian perkongsian dengan firma Finland, WithSecure untuk membangunkan rumusan keselamatan siber yang inovatif dan mesra pengguna khusus bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Objektif perkongsian itu adalah untuk melindungi PKS daripada ancaman siber, sejajar dengan transformasi digital negara, dan menyokong rang undang-undang keselamatan siber negara yang akan diumumkan oleh kerajaan awal tahun depan.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif LGMS, Fong Choong Fook dan Ketua Pegawai Eksekutif WithSecure, Juhani Hintikka di pejabat LGMS dekat Subang Jaya.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Duta Besar Finland ke Malaysia dan Brunei, Sami Leino.
Nie Ching dalam ucapannya berkata perjanjian perkongsian itu tepat pada masanya dan mewakili lonjakan ketara ke arah ekonomi digital yang terjamin.
“Ia juga sejajar dengan wawasan Ekonomi Madani kerajaan untuk menarik pelaburan langsung asing yang besar dan membuka jalan untuk kemajuan teknologi dan inovasi.
“Ia berfungsi untuk menunjukkan bagaimana usaha kerjasama boleh memudahkan ekosistem digital yang teguh, selamat dan makmur, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan teknologi global,” katanya pada majlis itu, lapor Bernama.
Choong Fook berkata kerjasama LGMS dengan WithSecure juga bermatlamat menyampaikan rumusan keselamatan siber yang bukan sahaja teguh, tetapi intuitif dan mesra pengguna serta memperkasakan komuniti PKS untuk mengemudi landskap digital dengan yakin dan selamat.
“Dalam ekonomi digital hari ini, ancaman siber dan serangan ‘ransomware’ telah menjadi lebih canggih dan berleluasa, serta berpotensi merosakkan PKS, yang sering kekurangan kepakaran dan sumber teknologi maklumat yang diperlukan.
"Kebanyakan PKS hari ini hanyalah satu serangan siber sahaja daripada kemunduran atau penutupan yang dahsyat," tambahnya.
Rumusan inovatif yang sedang dirancang kerjasama berkenaan ialah rumusan StarSentry ‘Buatan Malaysia’, model ‘plug-and-play’ yang lebih daripada sekadar ‘perisai’ untuk PKS, tetapi turut menawarkan pendekatan proaktif untuk pencegahan ancaman.
Rumusan ini juga sejajar dengan matlamat kemampanan lebih luas dan merangkumi rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus untuk melindungi infrastruktur kritikal, memupuk komuniti digital yang selamat dan mengukuhkan piawaian tadbir urus, menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi kepada operasi perniagaan yang bertanggungjawab dan telus.
Choong Fook berkata, prapesanan untuk rumusan itu sudah boleh dibuat dan produk itu dijangka dipasarkan menjelang suku pertama tahun depan.
Sementara itu, Hintikka berkata inisiatif kerjasama terbabit mempamerkan usaha WithSecure untuk memupuk ekonomi digital yang selamat dan makmur untuk Malaysia dan rantau ini, dan komitmennya untuk mencipta penyelesaian yang sejajar dengan keperluan perniagaan tempatan.
“Ia merangkumi etos WithSecure untuk menggabungkan kepakaran keselamatan siber global dengan cerapan tempatan untuk memupuk alam digital yang lebih selamat,” katanya.
WithSecure ialah kumpulan keselamatan siber antarabangsa yang terkemuka, yang telah membuat pelaburan besar di Malaysia, beroperasi di luar Kuala Lumpur untuk operasinya di Asia Pasifik. - DagangNews.com








