KUALA LUMPUR 6 April - Rakuten Trade mengunjurkan pendapatan bersih Lee Swee Kiat Group Bhd (LSK) bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23/24) masing-masing berkembang pada 20% dan 16.2%.
Firma penyelidikan itu berkata ini didorong kolaborasi bersinergi dengan Cuckoo Malaysia untuk tilam A-series Cuckoo Napure yang beroperasi pada model perniagaan berasaskan sewaan, membolehkan LSK menerima pendapatan sewa berulang.
Kerjasama tersebut, menurut firma itu, telah memberikan kumpulan itu aliran tunai sewa bulanan berulang melalui bilangan ansuran tetap.
Di samping itu, jumlah pasaran telah berkembang sekali gus menghasilkan pertumbuhan 113% tahun ke tahun (YoY) daripada RM9.8 juta kepada RM20.87 juta dalam jualan Cuckoo Napure pada tahun kewangan 2022 (FY22), didorong oleh lebih 50,000 ejen Cuckoo di seluruh Malaysia.
“Pengurusan percaya hubungan perniagaan ini akan meningkatkan barisan teratasnya dalam tiga tahun akan datang tanpa menanggung perbelanjaan pemasaran yang ketara,” katanya dalam nota hari ini.
Selain itu, firma tersebut menyukai kumpulan tersebut disebabkan saluran jualan langsung perniagaan kepada pelanggan (B2C) untuk kecekapan operasi yang lebih baik menawarkan pengembangan margin.
Rakuten berkata model jualan B2C inovatif Cuckoo Napure meningkatkan keyakinan pengguna, di mana mereka berurusan secara langsung dengan pengguna akhir, meminimumkan risiko pengantara melarikan diri.
Pendekatan ini juga meningkatkan kecekapan proses jualan dan mengurangkan kos transaksi yang membantu mencapai kecekapan operasi lebih baik justeru membawa kepada pengembangan margin keuntungan.
Menurut firma itu, LSK juga menjadi pilihannya memandangkan terdapat pemulihan teguh dalam jualan domestik, di mana mereka menjangkakan aliran jualan positif disokong oleh pemberian tunai kepada kumpulan B4, dan pasaran pekerjaan yang agak stabil.
Firma itu memberi saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 97 sen sesaham.
Setakat pukul 10:50 pagi hari ini, saham LSK tidak berganjak pada harga 79 sen sesaham, memberikan pasaran modal sebanyak RM132.58 juta. -DagangNews.com








