Lee Swee Kiat bersedia manfaatkan lencongan perdagangan dalam 3QFY23 dan seterusnya – AmInvest Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lee Swee Kiat bersedia manfaatkan lencongan perdagangan dalam 3QFY23 dan seterusnya – AmInvest Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Lee Swee Kiat Group Bhd (LSK) bersedia memanfaatkan peralihan pelanggan kepada pembekal yang berpangkalan di rantau Asia memandangkan ia telah menerima lebih banyak pertanyaan berikutan penyertaannya dalam pameran perdagangan antarabangsa baru-baru ini.

 

AmInvest Research berkata pengilang tilam lateks asli itu memaklumkan bahawa permintaan eksport boleh pulih secara ketara dalam suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (3QFY23) dan seterusnya, kerana kumpulan itu menerima lebih banyak pertanyaan daripada pameran perdagangan antarabangsa baru-baru ini berbanding tahun kewangan 2020 sehingga 2022 (FY20-22).

 

Jelasnya, ini didorong lencongan perdagangan memadangkan pelanggan beralih kepada pembekal yang berpangkalan di rantau Asia dan bukannya kerana pemulihan permintaan.

 

“Kami percaya ia berpunca daripada kejutan tenaga di wilayah Eropah dan gangguan rantaian bekalan semasa penutupan China, yang mendorong kepelbagaian risiko atau keputusan pengurusan serantau dalam kalangan pelanggan,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Terdahulu, LSK telah berunding dengan tiga pelanggan besar berpotensi dari Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Australia pada Mac, yang dijangka muktamad dalam suku kedua atau suku ketiga tahun ini.

 

Dalam perkembangan baharu, firma itu berkata pelanggan LSK yang berpangkalan di AS telah membuat pesanan sulungnya, walaupun sederhana, pada bulan Jun, di mana AmInvest Research menjangkakan pesanan meningkat secara beransur-ansur bulan ke bulan (MoM) pada 2HFY23.

 

LSK juga telah menghantar sampel busa lateks kepada pelanggan yang berpangkalan di Korea Selatan pada April 2023 dan proses penilaian dijangka berakhir pada Ogos atau September 2023 iaitu dalam 3QFY23. Akhir sekali, pelanggan yang berpangkalan di Australia masih di peringkat rundingan tanpa garis masa disediakan.

 

“Oleh itu, LSK menjangkakan kadar penggunaan loji lateks meningkat daripada 45% sehingga 50% dalam 1HFY23 kepada 80% sehingga 100% dalam 2HFY23F. Buat masa ini, kami menganggap kadar penggunaan FY23 sebanyak 64% berdasarkan 50% dalam 2QFY23 dan 80% dalam 2HFY23,” kata firma tersebut.

 

Sementara itu, di peringkat domestik, permintaan kekal kukuh pada April sehingga Mei 2023.

 

“Kami percaya permintaan domestik terus berkembang pada separuh kedua tahun ini disokong oleh pasaran buruh yang masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan, memandangkan kadar pengangguran sebanyak 3.5% pada Mac 2023 masih lebih tinggi dan jumlah kekosongan kerja sebanyak 119,000 masih 1.5 kali lebih tinggi daripada purata sebelum pandemik sebanyak 81,000.

 

“Tambahan pula, peningkatan dalam ambang kelayakan untuk kerja lebih masa kepada mereka yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan berkuat kuasa Januari 2023 boleh meningkatkan kuasa beli pengguna,” ujar firma itu.

 

Oleh itu, AmInvest Research mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY23-25 dan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) RM1.02 sesaham.

 

Setakat pukul 11:20 pagi ini, saham LSK telah susut 3.5sen atau 4% kepada 84 sen dengan modal pasaran sebanyak RM141 juta. - DagangNews.com