Lebih banyak insentif bakal dilaksanakan untuk bantu penjaja, peniaga kecil - Ismail Sabri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih banyak insentif bakal dilaksanakan untuk bantu penjaja, peniaga kecil - Ismail Sabri

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Nov - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjamin lebih banyak insentif yang bakal beliau laksanakan untuk penjaja dan peniaga kecil di Malaysia.

 

"Selamat Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2022 kepada semua penjaja dan peniaga kecil di seluruh Malaysia.

 

"Saya juga pernah menjadi penjaja dan peka dengan keperluan mereka," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa berusaha mengangkat dan mengetengahkan peranan komuniti penjaja dan peniaga kecil untuk sama-sama memacu kemakmuran negara.

 

"Pelbagai kemudahan disediakan kerajaan termasuk pengurangan 50 peratus sewaan premis, pengecualian sewaan tapak berniaga serta pengecualian fi lesen penjaja dan peniaga kecil sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan.

 

"Program Pendigitalan Penjaja dan Peniaga Kecil Warongku juga turut membantu golongan penjaja untuk mendigitalkan perniagaan mereka," kata beliau.

 

Selain itu kata Perdana Menteri, terdapat juga Program Pembiayaan Mikro tanpa faedah berjumlah RM50,000 secara dalam talian untuk penjaja dan peniaga kecil.

 

"Terima kasih kerana membantu memperkasakan ekonomi negara," kata Ismail Sabri. - DagangNews.com