Lebih 2,500 petugas TNB sertai Pasukan Kecemasan Keselamatan 24 jam hadapi bencana banjir | DagangNews Skip to main content

Lebih 2,500 petugas TNB sertai Pasukan Kecemasan Keselamatan 24 jam hadapi bencana banjir

Petugas TNB memeriksa satu daripada 296 set janakuasa bergerak untuk menghadapi bencana banjir di seluruh negara.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir dalam usaha memastikan soal pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan berkesan serta meminimumkan kerosakan pepasangan demi mengutamakan keselamatan orang awam.

 

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian (Chief Distribution Network Officer) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, seperti biasa setiap kali menjelang musim tengkujuh, TNB membuat latihan demi latihan supaya anggota kerja sentiasa berada dalam keadaan siap siaga serta memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing apabila berlaku banjir.

 

Beliau berkata, lebih 2,500 orang daripada Bahagian Rangkaian Pembahagian telah disenaraikan untuk menganggotai Pasukan Kecemasan Keselamatan yang akan bertugas 24 jam bagi melakukan kerja-kerja segera di kawasan berlaku gangguan akibat bencana berkenaan.

 

Bantuan logistik di lokasi-lokasi yang sering dilanda banjir sudah disiapkan termasuk 296 set janakuasa bergerak, 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW, 279 buah lori, 885 kenderaan pacuan empat roda, 38 buah bot dan 108 lampu limpah.

 

Menurut Wan Nazmy, TNB bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah serta akan membuka bilik-bilik gerakan di negeri-negeri yang terbabit banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.


 

Wan Nazmy Wan Mahmood
                     Wan Nazmy Wan Mahmood

 

 

Pusat-Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dikenal pasti turut diperiksa bagi memastikan bekalan elektriknya berada dalam keadaan baik.

 

“Dalam suasana banjir terutama premis yang dinaiki air, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati menggunakan peralatan elektrik dan suisnya. Jangan menyentuhnya dengan tangan basah dan lembap kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik.”

 

“Selepas banjir surut pula, pemeriksaan menyeluruh pendawaian premis perlu dilakukan oleh kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan ia selamat digunakan.” tambah Wan Nazmy.

 

Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut. - DagangNews.com