KUALA LUMPUR 27 Jun - ANIH Bhd, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjangkakan lonjakan trafik sebanyak 70% dengan lebih satu juta kenderaan menggunakan KLK sempena perayaan Aidiladha minggu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ANIH, Imran Gulcharan Abdullah berkata, selain itu, kira-kira 430,000 kenderaan dijangka melalui ECE1, dengan anggaran peningkatan sebanyak 60%.
Katanya, pihaknya mengeluarkan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) meliputi tempoh dari 27 Jun sehingga 2 Julai 2023 bertujuan membantu pengguna jalan raya mengetahui maklumat penting mengenai corak aliran trafik bagi pengguna yang merancang perjalanan semasa musim perayaan Aidiladha.
"Pengguna jalan raya djangka berhadapan dengan trafik yang padat menuju ke Pantai Timur semasa hari puncak dari 27 hingga 28 Jun 2023. Begitu juga trafik yang padat dijangka menghala ke Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Julai 2023.
"Oleh itu, perkongsian maklumat penting daripada ANIH ini, membantu memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, selamat, selesa dan efisien untuk semua," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Imran, cuti perayaan yang bersambung dengan cuti hujung minggu ini merupakan peluang berharga untuk bersama keluarga dalam tempoh lebih lama.
"Kami menggalakkan semua pengguna jalan raya untuk mengikuti panduan TTA bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selesa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyarankan agar pengguna lebuh raya sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan dan amalkan pemanduan berhemah.
"Gunakan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian sebelah bila perlu. Patuhi tanda-tanda jalan, had laju, dan arahan daripada pegawai lebuh raya untuk memastikan keselamatan dan keselesaan yang terjamin," ujar beliau.
Sebagai usaha mengurangkan kesesakan pada musim perayaan ini, ANIH akan menambah bilangan kakitangan sokongannya sehingga 20%, yang terdiri daripada petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC) serta menempatkan lebih daripada 170 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di kawasan strategik sepanjang lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik dalam tempoh tersebut.
ANIH juga membuat persediaan untuk membuka lorong kontra di lokasi yang sesak dan bersesuaian serta lorong tambahan tol bagi transaksi secara manual.
Sebelum memulakan perjalanan, pengguna jalan raya dinasihati untuk memastikan baki yang mencukupi dalam e-dompet dan Touch 'n Go bagi mengelakkan kesulitan di plaza tol yang boleh menyebabkan kelewatan perjalanan.
Untuk informasi tepat dan terkini, pengguna dinasihati untuk mengikuti akaun Facebook rasmi @Lebuhraya Pantai Timur dan akaun Twitter @LPTTrafik serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), @llmtrafik.
Sekiranya berlaku kecemasan, hubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau talian Lembaga Lebuhraya Malaysia di 1800-88-7752. - DagangNews.com








