LBS Bina di landasan tepat capai sasaran jualan RM2 bilion bagi FY23, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LBS Bina di landasan tepat capai sasaran jualan RM2 bilion bagi FY23, kata PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Public Investment Bank (PublicInvest) mengunjurkan LBS Bina Group Berhad berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan RM2 bilion bagi FY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, momentum jualan masih baik pada sekitar RM1.1 bilion yang diperoleh pada 14 Ogos 2023.

 

Katanya, jualan kumpulan sekali lagi didorong oleh projek di Wilayah Tengah (kira-kira 90% daripada jumlah jualan), dengan projek di Johor menyumbang 6% manakala Perak dan Pahang memperoleh 2% setiap satu daripada jumlah jualan.

 

"Jualan belum dibil kekal stabil pada RM2.5 bilion, meningkat daripada RM2.4 bilion suku lalu.

 

"Kami faham bahawa purata kadar pengambilan untuk projek yang dilancarkan setakat ini ialah kira-kira 74% (dengan tempahan kira-kira RM364 juta dalam perancangan)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan bersih kumpulan melonjak 10.7% kepada RM36.7 juta bagi 2QFY23, daripada RM33.19 juta yang dicatatkan suku sama 2022.

 

Prestasi kukuh yang dicatatkan kumpulan disokong pendapatan berjumlah RM375.4 juta yang diraih pada suku dikaji, meskipun syarikat itu berdepan cabaran industri seperti peningkatan tekanan inflasi.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir pada 30 Jun 2023, LBS meraih pendapatan sebanyak RM760.3 juta, yang menyokong peningkatan untung bersih sebanyak 9.1% kepada RM73.1 juta daripada RM67 juta berbanding tahun sebelumnya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk melancarkan 4,021 unit daripada 12 projek bagi pembangunan sedia ada pada FY23 dengan 51% daripada hartanah baharu di Lembah Klang, 23% di Johor, 23% di Pahang, dan 3% di Perak.

 

Katanya, projek-projek di Lembah Klang ialah rumah penghubung dan rumah bandar dalam KITA Bestari di Cybersouth, rumah teres Astella di D’Island Residence di Puchong, dan Blok B LBS’ Prestige Residence di Seri Kembangan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 67 sen sesaham selepas mengambil kira cadangan pelaburannya yang menarik serta kedudukannya sebagai pemain utama dalam segmen perumahan mampu milik," katanya.- DagangNews.com