Lanjutan kontrak daripada Petronas Carigali diunjur tingkatkan kadar sewa harian pelantar Velesto | DagangNews Skip to main content

Lanjutan kontrak daripada Petronas Carigali diunjur tingkatkan kadar sewa harian pelantar Velesto

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mac - TA Securities mengunjurkan lanjutan kontrak selama dua tahun daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bukan sahaja memberikan pendapatan berulang sehingga 2026 tetapi juga meningkatkan kadar sewa harian (DCR) kepada Velesto Energy Bhd.

 

Mereka menjangkakan bahawa kadar DCR yang diperbaharui untuk pelantar jack up adalah antara AS$130,000 hingga AS$140,000, lebih tinggi daripada anggaran AS$100,000 hingga AS$110,000 sebelumnya.

 

Katanya, kadar baharu itu akan berkuatkuasa bagi sebarang pekerjaan baharu Petronas Carigali yang bermula selepas 7 Februari 2024.

 

"Memandangkan sesetengah pelantar mempunyai pekerjaan sedia ada, Naga 2 akan menikmati kadar baharu dari akhir 2QFY24, Naga 4 akan menggunakan kadar baharu bermula  2QFY24 dan seterusnya, manakala Naga 6 hanya akan mempunyai kadar baharu dari pertengahan 1QFY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi Velesto Drilling Sdn Bhd (VDSB), telah memperoleh lanjutan kontrak selama dua tahun untuk penyediaan tiga pelantar jack-up kepada Petronas Carigali dengan nilai kontrak keseluruhan AS$265 juta.

 

Notis penugasan untuk pelantar jack-up, iaitu Naga 2, Naga 4 dan Naga 6, bermula pada 7 Februari 2024 dan akan diteruskan sehingga 6 Februari 2026, termasuk kesinambungan daripada kempen penggerudian semasa, mengikut notis tugasan terdahulu mereka bertarikh 11 Januari 2024, 7 Mac 2023 dan 2 Jun 2023.

 

Secara berasingan, nilai kontrak itu adalah sebanyak AS$73.04 juta untuk Naga 2, AS$94.88 juta untuk Naga 4 dan AS$97.08 juta untuk Naga 6.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tiada sebarnag perubahan unjuran pendapatan kerana lanjutan kontrak itu masih dalam andaian kadar penggunaan dan andaian purata DCR bagi FY24 hingga FY26.

 

Katanya, kecuali Naga 2 yang terpaksa menunggu sehingga awal Februari 2024 dan Naga 5 yang sedang berunding untuk lanjutan kontrak selepas menyiapkan kerja sedia ada pada awal 2QFY24, pelantar lain semuanya berfungsi pada 1HFY24.

 

"Kami mengunjurkan bahawa kadar penggunaan akan melebihi 90% dalam 1QFY24 dan 2QFY24, sebelum menyusut kepada 85% pada 2HFY24 kerana Naga 2, Naga 3, Naga 5 dan Naga 6 mempunyai tinjauan berkala khas (SPS) yang dijadualkan dalam tempoh ini," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' pada harga (TP) 33 sen sesaham. - DagangNews.com