Lagenda Properties rancang pembangunan bernilai RM85.38 juta di Kota Tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lagenda Properties rancang pembangunan bernilai RM85.38 juta di Kota Tinggi

KUALA LUMPUR 11 Jan - Anak syarikat milik penuh tidak langsung Lagenda Properties Bhd (LPB), Opti Vega Sdn Bhd menandatangani perjanjian hak pembangunan (DRA) dengan Intact Corporate Approach Sdn Bhd (ICA) bernilai RM85.38 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LPB berkata, perjanjian tersebut meliputi pembangunan empat bidang tanah dan 164 lot tanah bersebelahan yang belum dimajukan dengan ukuran keseluruhan kira-kira 45.33 hektar, kesemuanya terletak di Mukim Ulu Sungai Selangor, daerah Kota Tinggi, Johor.

 

"Cadangan DRA itu adalah selaras dengan pelan strategik syarikat untuk memanfaatkan kelebihan dalam pembangunan dan pembinaan hartanah menerusi kerjasama ICA bagi melaksanakan perjanjian yang dicadangkan itu," katanya.

 

Harga bagi cadangan DRA itu akan dibiayai oleh dana dalaman dan pinjaman bank.

 

Perkadaran secara khusus akan ditentukan oleh lembaga pengarah kemudian, selepas mengambil kira tahap kadar hutang syarikat, kos faedah serta keperluan tunai dalaman.

 

Tanpa mengambil kira situasi luar jangka dan tertakluk kepada pemenuhan semua syarat duluan, seperti yang dinyatakan dalam perjanjian, lembaga pengarah menjangkakan DRA itu akan diselesaikan tahun ini. - DagangNews.com