KWSP RM10,000 dibenarkan, PM rayu pencarum kekalkan simpanan kecuali terdesak | DagangNews Skip to main content

KWSP RM10,000 dibenarkan, PM rayu pencarum kekalkan simpanan kecuali terdesak

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP in akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.

 

Beliau berkata, ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

 

"Walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak. 

 

"Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan," katanya dalam sidang media khas tersebut.

 

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu. 

 

 

pm

 

 

"Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan," katanya.

 

Katanya, kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP. - DagangNews.com