KUALA LUMPUR 28 Mei - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melancarkan pelaburan modal swasta baharu hari ini dinamakan ‘Dana Pemacu,’ dengan peruntukan RM6 bilion.
Dana ini menyasarkan pelaburan dalam sektor ekonomi utama, termasuk keselamatan makanan, pendidikan, ekonomi perak, penjagaan kesihatan, peralihan tenaga, ekonomi digital, rangkuman kewangan dan lain-lain tema berkaitan impak kritikal dalam rangka kerja ekonomi Madani.
Menurut KWAP, Dana Pemacu akan dilaksanakan melalui dana Akaun Terurus Berasingan (SMA), dengan kerjasama bakat tempatan dan pengurus pelaburan antarabangsa terkemuka merentas tiga kelas aset iaitu ekuiti persendirian, infrastruktur dan hartanah.
Komitmen RM6 bilion akan dilaburkan melalui SMA konvensional dan patuh syariah, dengan 50% dikhususkan untuk pelaburan syariah bertujuan untuk memanfaatkan modal ekuiti Islam untuk impak yang lebih besar dalam pelaburan patuh syariah dan meningkatkan keseluruhan pasaran swasta sambil menawarkan peluang unik untuk pelaburan yang beretika dan bertanggungjawab secara sosial.
Semasa Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam awal hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan rancangan KWAP untuk memperuntukkan RM3 bilion kepada pelaburan patuh syariah, membentuk separuh daripada jumlah komitmen modal Dana Pemacu.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengenalan Dana Pemacu oleh KWAP sejajar dengan reformasi lebih besar oleh Kerajaan untuk mengoptimumkan dana institusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk merangsang pelaburan ke syarikat-syarikat Malaysia yang berkembang pesat, menyumbang kepada inisiatif yang meningkatkan had siling di bawah kerangka Ekonomi Madani.
"Pendekatan Dana Pemacu dalam menjalin kerjasama dengan pengurus pelaburan tempatan dan antarabangsa akan membantu memperkuat ekosistem pasaran swasta Malaysia,” jelas Amir Hamzah yang merasmikan pelancaran Dana Pemacu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed pula menekankan kepentingan Dana Pemacu untuk pertumbuhan dan kemajuan negara.
Beliau berkata, pelan itu melibatkan penggunaan pelaburan melalui model perkongsian antara bakat tempatan dan pengurus dana antarabangsa yang memangkin ekosistem pelaburan pasaran swasta di Malaysia.
“Selain itu, inisiatif ini akan membawa amalan dan kepakaran terbaik global ke pasaran tempatan, memacu pemindahan pengetahuan dan rangkaian industri, sekali gus meningkatkan bakat tempatan.
“Melalui pelaburan modal yang baru dilancarkan ini, kami berhasrat untuk menyokong lebih banyak syarikat tempatan dalam meningkatkan skala domestik dan antarabangsa melalui saluran konvensional dan patuh syariah, akhirnya mengukuhkan pasaran kewangan dan meningkatkan pembangunan bakat tempatan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dengan Dana Pemacu sebagai strategi pelaburannya, KWAP kekal komited untuk mencapai pulangan optimum bagi Dana untuk membantu Kerajaan Persekutuan dalam membiayai liabiliti pencennya.- DagangNews.com








