KUALA LUMPUR 21 Ogos - RHB Investment Bank percaya sektor automotif kekurangan faktor pemangkin yang mencukupi seperti pelancaran model kereta baharu yang menerima banyak tempahan bagi mengekalkan jumlah jualan industri (TIV) sekarang.
Menurut firma penyelidikan itu, hal ini menyebabkan ramalan prestasi TIV lebih lemah pada separuh kedua tahun 2024 (2H24) meskipun TIV sehingga ke tarikh ini (YTD) telah melepasi ramalan iaitu 62% anggaran sepenuh tahun 2024.
"Oleh itu, saranan 'Neutral' kami terhadap sektor ini kekal dengan Bermaz Auto Berhad jadi pilihan utama.
"Kami yakin sektor ini akan mencatat pertumbuhan perolehan negatif tahun ini, selari dengan fasa menurun sektor yang dijangka berlaku," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, RHB Investment meramalkan pelancaran kenderaan elektrik (EV) pertama Proton iaitu e.Mas 7 tidak akan memberi kesan ketara kepada jumlah jualan pengeluar kereta nasional itu pada waktu ini.
Katanya, ini memandangkan adanya harga lantai dan pasaran EV tempatan yang masih belum begitu ditembusi, dengan merangkumi hanya 2-3% daripada jualan kereta negara.
"Baru-baru ini, Proton mengumumkan pelancaran model EV pertamanya iaitu e.Mas 7, yang dibangunkan bersama dengan rakan kongsinya dari China, Geely. e.Mas 7 ini bakal dijual mulai bulan Disember.
"Kami difahamkan pada awalnya ia akan dipasarkan sebagai EV dipasang di luar negara (CBU) yang diimport sepenuhnya, maka harganya tidak akan kurang daripada RM100,000 kerana harga lantai untuk EV CBU berkuat kuasa sehingga akhir 2025," jelasnya.
Menurut RHB IB, walaupun penjualan unit CBU pada awal ini merupakan langkah yang munasabah, lambat-laun Proton tetap perlu mengeluarkan model ini secara tempatan bagi menurunkan harga dan menyokong agenda penggunaan EV negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Proton jual 15,103 unit pada Julai, tertinggi sejak September 2022
Sementara itu, kata firma penyelidikan itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan TIV sebanyak 71,700 unit (+23.5% MoM) pada bulan Julai, dan jumlah pengeluaran industri (TPV) pula mencecah 70,300 (+41.1% MoM).
Kata RHB IB, prestasi MoM yang lebih kukuh ini telah dijangkakan apabila asas yang rendah dicatatkan sebelum ini kerana prestasi bulan Jun terjejas akibat penutupan kilang untuk tujuan penyenggaraan.
"Kesemua jenama besar mengalami kenaikan MoM, dengan Proton dan Perodua melonjak 39% dan 35% manakala Toyota/Lexus dan Honda susut 19% dan 5%. Perodua mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran YTD, dengan penguasaan bahagian pasaran sebanyak 43.7%, naik daripada 41.3% tahun lalu.
"Kenaikan ini menunjukkan Perodua mungkin telah merebut sebahagian daripada bahagian pasaran Toyota, hasil daripada produk-produknya yang mampu milik dan berkualiti pada harga berpatutan.
"Honda berjaya mengekalkan peratusan bahagian pasarannya iaitu 10% selain mencatat kenaikan jualan 16% YTD, disebabkan oleh kempen pemasaran yang giat dijalankan," jelasnya yang mengekekalkan ramalan TIV 2024 sebanyak 740,000 unit pada ketika ini. - DagangNews.com








