KSN dahului senarai 212 penerima darjah kebesaran, pingat negeri Perak | DagangNews Skip to main content

KSN dahului senarai 212 penerima darjah kebesaran, pingat negeri Perak

Tan Sri Mohd. Zuki Ali
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 4 Nov - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mendahului senarai 212 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-66 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

 

Mohd. Zuki menerima Darjah Datuk Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

 

Selain itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dikurniakan Darjah Datuk Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak menerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

 

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (Bersara) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan pada satu tarikh yang akan diperkenankan oleh Sultan Perak.

 

Sementara itu, bagi Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk diberikan kepada 15 penerima.

 

Antara penerima DPMP ialah Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, S M Komathy; Pesuruhjaya Tinggi Kementerian Luar Negeri, Zakri Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Rosli Isa; Ketua Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd., Mubarak Ali Gulam Rasul. 

 

 

sultan
        Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim

 

 

Turut menerima DPMP, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd., Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Pakar Perunding Bedah Kanan dan Ketua Jabatan Bedah Kardiothorasik Institut Jantung Negara, Dr Alwi Mohamed Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Sunway, Prof Dr Lee Fuh Yen.

 

Lima menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) membawa gelaran Datuk Pahlawan, iaitu Inspektor Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Abd Halim Shaari dan Penasihat Pertahanan ATM, Brig. Jen. Safwan@Asri Ismail.

 

Penerima lain ialah Komander Jurutera Medan Barat ATM, Mejar Jeneral Ir. Abdul Hamid Mohd Isa; Pengarah Kesihatan MATM BPK Markas Tentera Darat Malaysia, Brig. Jen. Mohd Ghazalli Mohd Taha serta Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, SAC Shazeli Kahar.

 

Sementara itu, tujuh penerima dianugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 23 penerima, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 16 penerima.

 

Selain itu, Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 45 penerima, Pingat Pekerti Terpilih (PPT) 47 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 41 penerima dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) kepada 10 penerima.

 

Mohd. Zahidi berkata, jumlah penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Perak pada tahun ini agak terhad.

 

"Ia hanya dikurniakan kepada mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan, di samping telah diperkenankan oleh Sultan Perak," katanya. - DagangNews.com