KUALA LUMPUR 22 Jan - Di samping merangsang ekonomi Malaysia, kerajaan perlu kekal komited menjaga sumber-sumber ekonomi sedia ada dan pada masa sama, meningkatkan pungutan cukai dengan menutup ketirisan, menurut penganalisis ekonomi.
Ini disebabkan masa hadapan ekonomi domestik dan global bagi tahun 2022 dan 2023 kekal mencabar dan tidak menentu, menurut pensyarah kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia, Dr Goh Lim Thye.
“Di atas semua ini, ancaman baharu daripada virus COVID-19, Omicron dan juga kenaikan harga barangan, kadar pengangguran tinggi dan hutang kerajaan yang menggunung, juga boleh menjejaskan usaha pemulihan,’’ katanya kepada FocusM.
Malaysia kata beliau, sudah pun mengalami inflasi tinggi iaitu 3.3% pada November 2021, kenaikan tinggi daripada purata jangka panjang 1.6%.
Juga membimbangkan ialah kadar pengangguran negara pada 4.4% pada November 2021, yang bermaksud terdapat kira-kira 700,000 orang tidak mempunyai pekerjaan.
Aliran masuk pelaburan terus asing (FDI) juga menyusut 55% kepada RM12.57 bil (AS$3 bil) pada 2020 daripada RM32.26 bil (AS$7.7 bil) pada 2019.
Hutang isi rumah dibanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada di paras RM1.71 trilion atau 89.6% juga suatu trend yang membimbangkan.
Dengan kebanyakan isi rumah berhutang memotong perbelanjaan mereka, ia pasti menjejaskan pemulihan ekonomi.

Dalam keadaan serba tidak menentu ini, Dr Goh menekankan keperluan untuk memiliki pertumbuhan ekonomi yang mampan sebagai pendorong.
“KDNK Malaysia merosot 4.5% tahun atas tahun pada 3Q 2021 berbanding peningkatan sebanyak 16.1% pada 2Q 2021. Ini jelas menunjukkan ekonomi negara mudah terganggu kepada kejutan daripada keadaan tidak menentu ini,’’ jelasnya.
Menutup ketirisan
Di kala Belanjawan 2022 yang memfokus kepada merangsang pemulihan ekonomi dan membantu rakyat yang terkena impak pandemik untuk meneruskan hidup, Dr Goh berkata kerajaan mesti mencari kaedah untuk memacu pertumbuhan hasil awam bagi membiayai pemulihan dan memangkin pertumbuhan.
“Menutup ketirisan adalah perkara yang boleh dilakukan di peringkat awal ini. Perdagangan rokok seludup sahaja mengakibatkan negara kerugian RM5 bilion dari segi cukai yang tidak dipungut setahun,’’ ujar beliau.
“Dengan `cukai dosa’ mewakili 4% hingga 5% kepada keseluruhan hasil negara, pungutan cukai patut boleh bertambah jika kerajaan memberi fokus untuk menangani ketirisan yang besar itu secara serius.’’
Setakat September 2021, Malaysia mencatatkan 2,518 kes rampasan rokok dan arak seludup bernilai RM41.43 juta dengan cukai bernilai RM281.69 juta.
“Pasukan penguatkuasaan (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) perlu meningkatkan tindakan penguatkuasaan mereka bagi membanteras kegiatan penyeludupan,’’ kata Dr Goh.

“Satu laporan oleh Joossens et al. (2009) mendedahkan bahawa Itali, Sepanyol dan UK berupaya mengurangkan perdagangan rokok seludup sebanyak 15% hingga 21% dengan merosakkan rantaian bekalan daripada pengilang ke pasaran gelap,’’ jelas beliau.
“Oleh itu, jika langkah-langkah kerjasama penguatkuasaan antarabangsa ada, perdagangan rokok seludup ini boleh ditangani dengan jayanya,’’ tambah beliau.
Goh mencadangkan supaya denda kewangan yang besar dan program pendidikan awam dilaksanakan bagi mengenengahkan impak perdagangan rokok seludup kepada Malaysia.
Tidak dinafikan, kestabilan politik dan dasar-dasar awam juga amat penting bagi menutup ketirisan dan pembaziran hasil negara.

“Ini juga boleh menjadi punca kepada perjanjian bipartisan bersejarah yang dimeterai oleh kerajaan dan Pakatan Harapan pada 13 September tahun lalu, bagi meningkatkan kestabilan politik dan pembaharuan institusi,’’ katanya.
“Maka itu, penggubal-penggubal dasar seharusnya memastikan pelaksanaan mana-mana dasar itu memiliki sasaran tepat, difikirkan dengan teliti dan tanpa ketirisan,’’ tambah Dr. Goh. – DagangNews.com








