KPPK berhasrat wujudkan kluster agrikomoditi bersama pihak swasta | DagangNews Skip to main content

KPPK berhasrat wujudkan kluster agrikomoditi bersama pihak swasta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berhasrat mewujudkan kluster agrikomoditi bersama pihak swasta bagi membangunkan sektor itu selain menjadi peneraju utama dunia dalam sektor itu.

 

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sektor perladangan dan komoditi memainkan peranan penting dan pelbagai kejayaan berjaya diraih termasuk menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama sarung getah dunia dan pengeluar minyak kelapa sawit kedua terbesar selepas Indonesia.

 

"Bagi meneruskan kesinambungan itu, pihak kementerian serius dalam meningkatkan dan memperluaskan pasaran agrikomoditi dan komponen-komponen lain yang berkaitan dengan sektor itu.

 

"Bagi tujuan itu, kementerian telah mengenal pasti beberapa negara yang boleh menjadi rakan agrikomoditi negara," katanya ketika berucap merasmikan Malaysia International Agricommodity Expo & Summit (MiACEs), hari ini.

 

Eksport agrikomoditi negara pada tahun 2021 meningkat sebanyak 38.4% atau RM209.5 bilion berbanding RM151.3 bilion pada 2020 dan ia merupakan nilai tertinggi yang pernah dicatatkan.

 

Zuraida berkata, kementerian terus komited dalam memastikan sasaran eksport negara tercapai menerusi penggunaan tanah yang optimum, sistem pengeluaran yang mampan selain penggunaan teknologi serta sistem yang mampu menjimatkan kos serta mengurangkan impak kepada alam sekitar.

 

KPPK

 

Beliau berkata, kementerian menyeru kerjasama semua pihak dalam memastikan kelangsungan industri agrikomoditi dan seterusnya membantu mengangkat Malaysia sebagai gergasi dunia dalam sektor itu.

 

"Kejayaan kita sangat bergantung kepada kerjasama ini dan fokus kementerian adalah memaksimakan hasil dan memberi galakan melalui pelbagai insentif bagi menjayakan sektor agrikomoditi dan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)," katanya.

 

Dalam pada itu, Zuraida berkata, MiACEs akan menjadi platform kepada Malaysia untuk terus mempromosikan usaha-usaha dan hasil agrikomoditi dari semasa ke semasa.

 

Beliau berkata,  MiACEs juga akan menjadi wadah penyelidikan dan tinjauan pendapat pelbagai pihak untuk dijadikan input bagi memastikan misi dan visi serta dasar agrikomoditi negara serta hasrat kerajaan dapat direalisasikan. - DagangNews.com