KUALA LUMPUR 27 Ogos - KPJ Healthcare Berhad dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik menjelang penganjuran Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024.
MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd, Chin Keat Chyuan manakala MCMC diwakili Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan disaksikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
MIH Megatrends 2024 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama KPJ Healthcare bertujuan menghimpunkan barisan pemain industri penjagaan kesihatan global, profesional, inovator dan pembuat dasar.
Berlangsung selama tiga hari dari 25 Oktober 2024, MIH Megatrends 2024 menjadi medan perbincangan mengenai kemajuan teknologi terkini, bertukar ilmu pengetahuan dan memupuk kerjasama untuk meningkatkan kualiti, aksesibiliti dan kemampanan penjagaan kesihatan.
"Memfokuskan kepada topik utama seperti teknologi kecerdasan buatan (“AI”) yang terkini, pembiayaan kesihatan yang saksama, kerjasama awam-swasta yang mampan, penjagaan kesihatan berasaskan nilai, kaedah rawatan perubatan bersasar (precision medicine) dan keselamatan serta kualiti dalam penjagaan kesihatan, sekaligus meletakkan acara ini sebagai tonggak kepada kemajuan transformasi dalam industri.
"Hari ini (26 Ogos 2024), MIH Megatrends 2024 dengan berbesar hati meraikan rakan kerjasama rasmi, barisan penaja dan pempamer yang akan turut serta dalam persidangan yang akan diadakan dari 25 hingga 27 Oktober 2024.
"Peranan MCMC sebagai “Future Healthcare Frontier Partner” untuk penganjuran MIH Megatrends 2024 adalah sangat signifikan dalam mengangkat taraf persidangan ini sebagai peneraju inovasi penjagaan kesihatan ke peringkat yang lebih tinggi," kata KKM dan KPJ Healthcare dalam kenyataan bersama hari ini.
Menurut kenyataan itu, penglibatan MCMC juga penting dalam memacu perbincangan tentang bagaimana pihak berkepentingan lain dalam industri teknologi dan penyelesaian terkini dapat menjalin kerjasama untuk meningkatkan aksesibiliti dan kualiti penjagaan kesihatan untuk rakyat.
"Barisan penaja yang terdiri daripada peneraju industri daripada pelbagai sektor seperti farmaseutikal dan peranti perubatan juga akan memainkan peranan penting dalam menyokong agenda persidangan ini.
"Sokongan mereka membuktikan semangat kerjasama yang penting untuk mencapai inovasi dan kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan, sekaligus memastikan Malaysia terus meletakkan tanda aras yang tinggi untuk perkembangan penjagaan kesihatan masa depan di peringkat global," jelas KKM dan KPJ Healthcare.
Hadir sama pada majlis menandatangani MoU itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Norazman Ayob.
KKM dipuji atas usaha cemerlang dalam menyatukan pihak berkepentingan utama daripada sektor kesihatan tempatan dan antarabangsa di acara MIH Megatrends 2024.
Kata kenyataan itu, pencapaian ini menggambarkan peranan penting satu pasukan yang berdedikasi dan bersatu.
"Penglibatan berterusan daripada sektor swasta, terutamanya melalui kerjasama awam-swasta (PPP), telah menjadi pemangkin dalam melengkapkan usaha ini, demi memastikan penjagaan kesihatan yang berkesan dan berjaya.
"Sekalung tahniah diucapkan kepada Kumpulan Perubatan Johor dan barisan rakan kerjasama kerana berjaya menganjurkan persidangan antarabangsa ini buat kali pertama.
"Persidangan ini dijangka menjadi asas penting untuk mengukuhkan PPP, sebagai daya penggerak utama dalam landskap persidangan perubatan," ujar kenyataan tersebut.
Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata, tahap peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan kanser, yang juga dikenali sebagai wabak NCD, merupakan faktor utama yang secara kumulatifnya menyumbang kepada beban penyakit yang membimbangkan serta memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan Malaysia.
Katanya, strategi KKM untuk menangani cabaran ini termasuklah memperbaiki perkhidmatan penjagaan utama kami dan memberi prioriti kepada inovasi berasaskan data, satu pendekatan yang sedang giat diusahakan melalui agenda pendigitalan.
"Melangkah ke hadapan, kami percaya MIH Megatrends 2024 akan membuka jalan untuk pemeteraian kerjasama menuju kesihatan yang lebih baik untuk semua, terutamanya melalui pendekatan inovatif dan terancang dalam menangani cabaran kesihatan," katanya.

Sementara itu, Chin Keat Chyuan berkata, melalui kerjasama dengan KKM dan MCMC, KPJ Healthcare komited untuk mengintegrasikan teknologi terkini dan wawasan bagi meningkatkan kualiti dan aksesibiliti penjagaan kesihatan di seluruh dunia.
"Usaha ini bukan hanya mengenai pertukaran pandangan — ia juga tertumpu kepada mencipta penyelesaian praktikal yang membawa kepada kebaikan pesakit dan system penjagaan kesihatan yang lebih cekap untuk rakyat," jelasnya.

MIH Megatrends 2024 akan menghimpunkan lebih daripada 30 penceramah global dan menampilkan lebih daripada 130 gerai pameran.
Acara ini akan menjadi platform penting untuk berkongsi kemajuan dan inovasi yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti penjagaan pesakit dan memperbaiki sistem penjagaan kesihatan.
Kejayaan MIH Megatrends 2024 disokong oleh kerjasama strategik daripada barisan penaja, seperti yang disenaraikan di bawah:
• Penaja Platinum – Management and Science University (MSU)
• Penaja Emas – FOMEMA Sdn Bhd, Radicare (M) Sdn Bhd, Zuellig Pharma dan Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA)
• Penaja Perak – Medivest Sdn Bhd, M. S. Ally Pharma Sdn Bhd, Quantum Medical Solutions Sdn Bhd, Duopharma (M) Sdn Bhd, Becton, Dickinson and Company (BD), Primabumi Sdn Bhd, Mastercard, LAC Medical Philips, LAC Medical Samsung, Edgenta Mediserve dan Hanan Medicare Sdn Bhd
• KPJ University dan Astro Awani adalah Rakan Kerjasama Pendidikan dan Rakan Media Rasmi.- DagangNews.com








