KUALA LUMPUR 14 Julai - KPJ Healthcare Bhd melalui bahagian tanggungjawab korporatnya, Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) melancarkan pusat dialisis ke-9 di Rembau, Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Dirasmikan oleh Setiausaha MAINS, Zainal Said, pusat dialisis tersebut pada asalnya merupakan Klinik Waqaf An-Nur sebelum dinaik taraf menjadi Pusat Dialisis Waqaf An-Nur MAINS dan mula beroperasi pada 12 Jun 2023 dan dikendalikan Hospital Pakar KPJ Seremban dengan kerjasama MAINS dan Waqaf An-Nur Corporation Bhd.
Pusat ini dilengkapi dengan lima mesin dialisis dan menawarkan perkhidmatan yang sama dengan klinik KWAN lain di seluruh negara, termasuk pemeriksaan kesihatan, rawatan dan konsultasi. Ia juga merupakan pusat kedua yang dibuka di Negeri Sembilan dengan kerjasama MAINS.
Mesin dialisis yang disediakan menggunakan penapis dialisis sekali guna, iaitu penapis untuk mengeluarkan cecair berlebihan daripada darah pesakit, dan bukannya menggunakan penapis yang boleh dikitar semula untuk mengelakkan jangkitan dan kemungkinan untuk berlaku komplikasi.
Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada MAINS kerana menyokong usaha mereka dan sentiasa proaktif menjalankan aktiviti bersama masyarakat untuk memacu kesedaran tentang kesihatan yang baik dan kehidupan sihat, kerana semua orang berhak mendapat penjagaan kesihatan berkualiti.
"Dari 1998 hingga Mei 2023, hampir dua juta pesakit menerima rawatan di klinik statik KWAN di seluruh negara, dan seramai 30,013 lagi pesakit melalui klinik bergeraknya dari 2015 hingga Mei 2023.
"Kami percaya usaha kami dalam mengukuhkan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti melengkapkan fokus kami dalam mengutamakan kesihatan individu, mengiktiraf dan menambah baik kesejahteraan peribadi mereka secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut Norhaizam, pihaknya juga menyasarkan untuk meluaskan jangkauan klinik bergerak dengan menempatkan lebih banyak klinik bergerak di kawasan lain di Malaysia.
"Menjelang akhir tahun ini, kami merancang untuk menempatkan dua lagi klinik bergerak, satu di Pahang dan satu lagi di Sabah, untuk meluaskan jangkauan kami dan seterusnya terus membantu masyarakat," katanya.
Sementara itu, Zainal berkata, MAINS telah memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan masyarakat di seluruh Negeri Sembilan, dengan menjalankan aktiviti berterusan dan pelbagai program yang disasarkan kepada golongan memerlukan dan kurang bernasib baik.
"MAINS sentiasa mengambil berat tentang bantuan kesihatan khususnya kepada asnaf fakir miskin di Negeri Sembilan. Jumlah peruntukan bagi bantuan hemodialisis tahun 2023 berjumlah RM 12.64 juta.
"Manakala jumlah perbelanjaan bagi bantuan hemodialisis tahun 2022 adalah sebanyak RM 8.64 juta dan jumlah pesakit dialisis yang menerima tajaan MAINS secara bulanan setakat hari ini adalah seramai 490 orang di 48 pusat dialisis panel yang dilantik," katanya. - DagangNews.com








