KUALA LUMPUR 7 Julai - KPJ Healthcare Berhad telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Gentari Sdn Bhd untuk melaksanakan kerjasama strategik yang akan memacu usaha nyahkarbon dalam sektor penjagaan kesihatan.
Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, Gentari dan KPJ Healthcare berkata kerjasama itu memperkukuhkan usaha KPJ Healthcare ke arah penyahkarbonan dan pertumbuhan mampan.
Di bawah MoU itu, fasiliti Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) akan dipasang di 10 buah fasiliti KPJ Healthcare untuk orang ramai mengikut pembayaran-berasaskan-penggunaan, dalam menyokong infrastruktur EV di Malaysia yang semakin berkembang dan menggalakkan penggunaan EV dalam kalangan kakitangan, pesakit dan pelawat.
Di samping itu, kerjasama tersebut turut memperkenalkan rumusan Zero Emission Vehicle Fleet yang disesuaikan dengan pasaran Malaysia dengan meneroka pilihan-pilihan yang ada, termasuk penggunaan EV untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan pengangkutan mampan dalam sektor penjagaan kesihatan.
Selain mobiliti hijau, rumusan tenaga boleh diperbaharui akan dipasang di fasiliti KPJ Healthcare, termasuk penggunaan tenaga solar dan teknologi tenaga bersih yang lain untuk menjana elektrik.
Penyepaduan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti hijau bukan sahaja mengurangkan jejak karbon KPJ Healthcare tetapi juga mewujudkan kecekapan yang lebih besar, penyampaian perkhidmatan yang lebih baik dan, tuntasnya, pengalaman pesakit yang lebih positif.
Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata kumpulan itu percaya kerjasama tersebut dapat menetapkan piawaian industri baharu, mewujudkan amalan terbaik dan memacu perubahan positif dalam sektor penjagaan kesihatan.
“Program kemampanan sedia ada kami telah meletakkan asas yang kukuh, namun kami memahami keperluan untuk mempercepatkan usaha kami. Kerjasama ini selaras dengan komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi sambil mengutamakan penjagaan alam sekitar,” ujar beliau.
Menurut beliau, KPJ Healthcare yakin kerjasama itu adalah salah satu cara terbaik untuk memastikan janji Care for Life mereka dapat diperluaskan lagi untuk merangkumi alam sekitar juga, dalam usaha untuk menyampaikan penjagaan kesihatan berkualiti terbaik kepada pesakit.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Shah Yang Razalli berkata pihaknya menyedari bahawa penggunaan tenaga yang ketara dalam industri penjagaan kesihatan mesti disokong oleh amalan mampan.
Oleh itu, beliau melihat kerjasama itu sebagai satu penghormatan untuk menyokong pendekatan bertanggungjawab mereka terhadap operasi harian.
“Dengan penyepaduan penyelesaian tenaga bersih, kami berhasrat untuk membantu KPJ Healthcare dalam mengurangkan jejak karbon mereka dan menyumbang ke arah mencapai matlamat kemampanan mereka,” ujar beliau. - DagangNews.com








