Kos operasi Padini diramal terus meningkat kesan pertambahan perbelanjaan kakitangan - RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos operasi Padini diramal terus meningkat kesan pertambahan perbelanjaan kakitangan - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jun - RHB Investment meramalkan kos operasi Padini Holdings Bhd terus meningkat kesan daripada pertambahan perbelanjaan kakitangan selain keperluan penawaran diskaun yang agresif meneruskan persaingan di alam industri.

 

Katanya, pengurusan akan terus memberi fokus kepada peningkatan kualiti produk dan penawaran reka bentuk yang lebih menarik bagi mengekalkan daya saing.

 

Firma penyelidikan itu bagaiamanapun berkata, prospek pertumbuhan kumpulan itu mungkin lemah kerana kebergantungan terhadap pertumbuhan pengguna dan keuntungan bahagian pasaran selepas mengambil kira pengembangan konservatif yang dilaksanakan.

 

"Walaupun berdepan jualan yang lebih lemah kerana ketiadaan musim perayaan namun terdapat beberapa perkembangan positif seperti skim gaji baharu untuk penjawat awam dan penstrukturan semula akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

"Perkembangan itu dijangka memanfaatkan pasaran saran kumpulan dan menyokong permintaan untuk produk kumpulan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, keputusan 9MFY24 kumpulan itu adalah di bawah jangkaan dengan hasil sebanyak RM120.3 juta hanya menyumbang 68% dan 72% daripada ramalan tahun penuh dan konsensus.

 

Sisihan negatif adalah disebabkan oleh perbelanjaan operasi (opex) lebih tinggi daripada jangkaan akbat peningkatan kos kakitangan dan margin untung kasar yang lemah disebabkan oleh keperluan untuk inisiatif promosi yang lebih agresif. 

 

RHB Investment menyemak turun unjuran pendapatan Padini sebanyak 12% bagi FY24 selepas mengambil kira margin untung kasar lebih rendah dan andaian kos operasi lebih tinggi.

 

Katanya, kumpulan itu juga berdepan risiko kenaikan mendadak dalam kos operasi dan sentimen pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah, RM3.68 sesaham," katanya.- DagangNews.com