KUALA LUMPUR 5 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan kontrak pertama ITMAX System Bhd bagi penyediaan sistem tempat letak kereta pintar akan melonjakkan pendapatan jangka panjang kumpulan itu selain membuka lebih banyak peluang kepada pekerjaan baharu pada masa hadapan.
Kumpulan itu semalam mengumumkan bahawa mereka meriah kontrak daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi mengendalikan tempat letak kereta pintar bagi 32,025 tempat letak kereta dalam kawasan itu untuk tempoh 15 tahun bermula 1 Jun 2024.
HLIB mengunjurkan jumlah kutipan hasil sebanyak RM1.8 juta sebulan atau RM21 juta setahun daripada operasi.
Berdasarkan perkongsian hasil 70% untuk kumpulan dan 30% untuk MBIP, ITMAX akan memperoleh hasil sebanyak RM14.7 juta setahun.
"Dengan mengandaikan margin 50%, ini boleh meningkatkan keuntungan kumpulan sebanyak RM7.5 juta hingga RM8 juta setahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: ITMAX dilantik kendalikan tempat letak kereta pintar di Iskandar Puteri selama 15 tahun
https://www.dagangnews.com/article/itmax-dilantik-kendalikan-tempat-letak-kereta-pintar-di-iskandar-puteri-selama-15-tahun-37818
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, terdapat faedah yang lebih besar untuk diraih memandangkan peluang besar bagi kumpulan itu mengembangkan perkhidmatan parkir pintarnya ke 15 majlis lain.
Dengan andaian sejumlah 200,000 tempat letak kereta di Johor, dengan enam hari operasi parkir pada empat jam sehari (40% kadar penggunaan) dan 60 sen sejam, ini akan memperoleh purata RM11.5 juta sebulan atau RM138.2 juta setahun.
"Dengan perkongsian hasil yang sama iaitu 70%-30% dan 50% margin, ini boleh meningkatkan pendapatan kumpulan sebanyak RM48 juta setahun," katanya.
HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM2.90 sesaham. - DagangNews.com








