Kontrak Globetronics dan firma India kurang meyakinkan ekoran syarat pelaburan semula – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak Globetronics dan firma India kurang meyakinkan ekoran syarat pelaburan semula – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mac - Meskipun kontrak RM36 juta yang diperoleh Globetronics Technology Bhd daripada syarikat teknologi di India menjamin sumbangan sepanjang tiga tahun, Maybank Investment Bank kurang yakin terhadap syarat pelaburan semula di bawah perjanjian tersebut.

 

‘Neutral’ terhadap kontrak berkenaan, Maybank IB berkata ia kurang yakin disebabkan Kaynes Semicon Pt. Ltd. (KSPL), anak syarikat Kaynes Technology India Ltd, kurang berpengalaman dalam pemasangan dan ujian penyumberan luar (OSAT).

 

Di samping itu, katanya, KSPL tidak mempunyai pelanggan sedia ada, selain terdapat ketidakpastian dalam jaminan penilaian keluar.

 

Perjanjian yang dimeterai dengan anak syarikat Globetronics, ISO Technology S/B (ISOT) itu memerlukan KSPL akan membayar syarikat itu sejumlah AS$7.6 juta (RM35.9 juta), yang mana AS$5.3 juta (RM25 juta) akan dilaburkan semula oleh ISOT ke dalam sekuriti boleh tukar (CCPS) yang diterbitkan oleh KSPL. 

 

Sebagai balasan untuk pelaburan tersebut, KAYNES dikehendaki menyediakan ISOT peluang keluar sama ada melalui tawaran awam permulaan (IPO) atau jualan strategik dalam tempoh tiga tahun dari tarikh langganan ISOT kepada CCPS.

 

“Perjanjian itu menjamin Globetronics sumbangan sebanyak RM10.9 juta (untuk diiktiraf secara ansuran dalam tempoh tiga tahun). 

 

“Sementara itu, kami difahamkan bahawa nilai keluar (RM25 juta) daripada pelaburan semulanya tidak dijamin pada ketika ini sekiranya KAYNES gagal menubuhkan KSPL menjelang tarikh akhir yang ditetapkan selepas langganan CCPS. 

 

“Selanjutnya, CCPS itu juga berkemungkinan akan mewakili kira-kira 2-3% daripada nilai ekuiti akhirnya KSPL yang boleh diabaikan apabila penukaran penuh,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan Globetronics bagi tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-26) dan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) RM1.05 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY25 sebanyak 21 kali.

 

Pada pukul 11:32 pagi ini, saham Globetronics tidak berganjak pada RM1.38, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM931.6 juta. - DagangNews.com