Konsortium Reservoir Link dipilih sebagai pengeluar tenaga solar CGPP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Konsortium Reservoir Link dipilih sebagai pengeluar tenaga solar CGPP

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Konsortium diterajui Reservoir Link Energy Bhd telah dipilih sebagai pengeluar tenaga solar oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

Konsortium tersebut terdiri daripada anak syarikatnya, Reservoir Link Renewable Sdn Bhd, bersama Sumitomo Corporation dan Maqo Engineering Sdn Bhd.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Reservoir Link berkata ia merupakan satu daripada 22 pemohon CGPP yang dipilih suruhanjaya tersebut sebagai pengeluar tenaga solar dengan gabungan kapasiti eksport melebihi 560MW.

 

Katanya, konsortium berkenaan dalam kalangan majoriti pemohon berjaya yang telah diperuntukkan dengan kapasiti eksport maksimum 30MW.

 

Permohonan untuk CGPP masih diteruskan dan akan tamat pada 31 Disember 2023 atau sehingga jumlah kuota peruntukan 800MW telah dilanggan sepenuhnya.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berbesar hati kumpulan itu dipilih untuk terlibat dalam CGPP yang mempertingkatkan lagi penggunaan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus menerajui usaha peralihan tenaga negara.

 

 

Thien Chiet Chai
Thien Chiet Chai

 

 

“Inisiatif ini berserta sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan tempatan telah mempromosi penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan operasi perniagaan mampan yang berkemungkinan bakal menerajui usaha berterusan negara ke arah lebih banyak pelaksanaan rumusan boleh diperbaharui.

 

“Reservoir Link percaya bahawa ini hanyalah sebahagian kecil daripada usaha tersebut.

 

“Kami menjangkakan lebih banyak aktiviti dari ruang tenaga boleh diperbaharui pada tahun-tahun mendatang untuk menyokong agenda Malaysia, yang akan memberi manfaat kepada kami memandangkan penglibatan kami dalam tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya. - DagangNews.com