Konsep Malaysia Madani bukan untuk Muslim sahaja tetapi semua rakyat | DagangNews Skip to main content

Konsep Malaysia Madani bukan untuk Muslim sahaja tetapi semua rakyat

KERANGKA Malaysia Madani ini jangan disalah erti sebagai konsep yang hanya terpakai untuk orang Islam sahaja, kata pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

 

Ini kerana kata beliau, konsep Madani yang terkait dengan konsep ketamadunan juga sesuai dalam masyarakat pelbagai kaum.

 

Beliau menambah, matlamat yang diutarakan PM Anwar adalah untuk melaksanakan tingkah laku yang terbaik dalam menyelesaikan isu utama rakyat kini iaitu kemiskinan, keadilan sosial dan membasmi rasuah sebagai keutamaan kerajaan beliau kini.

 

“Setiap kerajaan pasti ada konsep dan temanya sendiri. Sebagai contoh, konsep Keluarga Malaysia dan juga 1Malaysia misalnya oleh kerajaan terdahulu sebenarnya adalah terangkum di dalam konsep Madani yang lebih besar sifatnya.

 

"Keluarga Malaysia merujuk kepada rakyat Malaysia hidup bernegara sebagai sebuah keluarga dan menekankan ciri-ciri kekeluargaan. 1Malaysia pula melihat kesepaduan rakyat Malaysia atas matlamat yang sama iaitu Transformasi Malaysia, keselesaan rakyat dan perpaduan kaum.

 

“Konteks Malaysia Madani sebenarnya melihat perkara berkenaan juga tetapi dalam ruang lingkup yang lebih luas menjadikan Malaysia sebuah negara yang bertamadun dari segi kemajuan nilai dan kemajuan fizikal.

 

"Atas dasar ini, PM Anwar yakin konsep Malaysia Madani ini boleh menjadikan negara kita kembali disegani kerana matlamat bernegara menitikberatkan kemakmuran bersama rakyat Malaysia yang akan memberikan kebahagian dan kebaikan umum,” jelasnya.

 

"Kerangka Malaysia Madani itu dibina adalah bagi menekankan kepada keadilan sosial".


 

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
                      Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

 


Initipati keadilan sosial itu seharusnya membela orang miskin dan membasmi kemiskinan, dan antara punca berlakunya gejala kemiskinan adalah kerana kegiatan rasuah yang berleluasa yang biasanya berlaku dalam bentuk top-down pyramid iaitu dari pihak atasan dan merebak hingga ke peringkat bawahan.  

 

“Sifirnya cukup mudah. Jika ketirisan disebabkan rasuah ini dapat dikawal dengan proaktif maka banyak wang rakyat boleh diselamatkan dan digunakan semula untuk membantu orang miskin. Kerajaan perlu jadi contoh terbaik bagaimana kita boleh bekerja bersama-sama membanteras habis-habisan rasuah.

 

"Anwar sendiri menegaskan beliau tidak akan mencampuradukkan sebarang bentuk penyelewengan dan rasuah dalam negara, manakala sebarang pengambilan harta negara harus dipulangkan semula kepada rakyat,” jelasnya.

 

Dalam merealisasikan kerangka ini, Mohd Azizuddin mencadangkan supaya kerajaan turut memberikan tumpuan ke arah bersaing dengan kuasa dunia lain melalui perdagangan dan teknologi di dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 ini.

 

"Pelaburan yang besar daripada segi penyelidikan diperlukan bagi menjadikan Malaysia hub kepada pelbagai sektor seperti pendidikan, teknologi hijau, dan pelbagai lagi, " katanya. - DagangNews.com