Wasiat BUKAN instrumen sesuai untuk mewariskan saham perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasiat BUKAN instrumen sesuai untuk mewariskan saham perniagaan

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Saya bertemu dengan ramai usahawan dan pengasas perniagaan yang berjaya sepanjang 21 tahun operasi Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Ada di antara mereka telah pun menyediakan wasiat dan di dalam wasiat itu mereka menyatakan kepada siapakah saham syarikat mereka ingin diwariskan.

 

“Oleh kerana aku telah bertahun melatih anak sulung aku selok-belok perniagaan, selepas aku mati aku mahu dialah mewarisi saham aku dan menguruskan perniagaan itu. Anak-anak lain tak berminat. Sebab itulah aku  dah buat wasiat dan di dalam wasiat itu aku namakan anak sulung aku sebagai penerima keseluruhan saham.” Kata seorang sahabat saya dengan yakinnya.

 

Dia mempunyai dua isteri, tiga anak perempuan daripada isteri pertama dan seorang bayi lelaki daripada isteri kedua.

 

Saya faham kebanyakan daripada usahawan/pengasas perniagaan pastinya mahukan legasi perniagaannya itu diteruskan oleh generasi yang akan datang.

 

Mereka juga mungkin telah melatih waris-waris tertentu yang pada fikiran mereka berkelayakan dan  berpengalaman untuk mengambil alih perniagaan itu.

 

Namun apa yang mereka tidak faham ialah wasiat bukanlah instrumen yang sesuai bagi mencapai maksud pewarisan saham itu.

 

Wasiat bagi apa juga jenis harta sekalipun (termasuklah saham perniagaan), jika dibuat dan diberikan kepada waris-waris (pihak yang menerima harta pusaka mengikut hukum faraid), hanya akan berkuatkuasa jika ia dipersetujui oleh semua waris mengikut hukum faraid.

 

Oleh itu wasiat sahabat saya yang hanya mahukan anak perempuan sulungnya sahaja mewarisi saham perniagaannya, hanya akan berkuatkuasa jika semua waris-waris mengikut hukum faraidnya iaitu isteri pertama, isteri kedua dan anak-anak isteri pertama BERSETUJU dengan wasiat itu selepas kematiannya.

 

Mustahil Isteri Kedua Rela

Pengalaman mengajar saya bahawa hampir mustahil isteri kedua itu akan bersetuju hak faraidnya ke atas saham perniagaan dilepaskan kepada anak tirinya.

 

Kalaupun isteri kedua itu bersetuju melepaskan haknya, hak anak lelakinya yang masih di bawah umur 18 tahun itu tidak  boleh dilepaskan kepada sesiapapun.

 

Mungkin juga isteri kedua akan dilantik oleh Mahkamah Syariah sebagai penjaga harta kepada anak itu namun penjaga harta tiada kuasa untuk membuat keputusan untuk melepaskan hak anaknya ke atas saham perniagaan itu kepada pihak lain.

 

Hak anak lelaki itu akan kekal wujud sehinggalah anak itu berumur 18 tahun. Hanya anak itu sahaja yang berhak untuk  melepaskan haknya apabila mencapai umur ini.  

 

Di sepanjang anak lelaki itu di bawah umur 18 tahun, bahagian faraidnya ke atas saham perniagaan itu kekal dan isteri kedua itu mempunyai hak untuk mempertikai dan mengambil tindakan mahkamah ke atas apa sahaja keputusan yang dibuat oleh anak perempuan sulung itu (jika anak perempuan sulung itu dipersetujui oleh isteri pertama, anak-anak isteri pertama dan isteri kedua juga untuk mengambil alih perniagaan) bagi menjaga kepentingan anak lelaki tersebut.

 

  • Jadi adakah wasiat sahabat saya ini yang mahukan saham perniagaannya diwariskan kepada anak sulung itu akan berkuatkuasa?

 

  • Agaknya adakah anak perempuan sulung itu dapat menguruskan perniagaan arwah bapanya dengan lancar tanpa gangguan daripada isteri kedua?

 

Pada hemat saya, ia hampir mustahil terlaksana.

 

Termenung panjang sahabat ini bila saya jelaskan secara terperinci semua situasi yang akan berlaku kepadanya.

 

Lama Membina Perniagaan

Sahabat saya ini memulakan perniagaan dengan titik peluh sendiri dan selepas beberapa puluh tahun berjaya menjadikan perniagaannya sebagai sebuah organisasi yang dihormati dan menyumbang secara signifikan kepada masyarakat.

 

Perniagaannya memberikan peluang pekerjaan kepada ratusan pekerja yang bergantung hidup dengannya. Syarikatnya membayar cukai korporat yang signifikan setiap tahun. Syarikatnya juga mempunyai hubungan baik dengan bank yang secara berterusan memberikan kemudahan pembiayaan bagi semua projek-projeknya. Dia juga rapat dengan para pembekalnya.

 

Dengan umur mencecah 65 tahun dan menghidap pelbagai penyakit, risiko kematian secara mengejut kepadanya amat jelas. Dengan wasiat sahaja dokumen yang telah dibuatnya bagi urusan saham perniagaannya, situasi dia sebenarnya amat genting.

 

Tambah pula anak perempuan sulungnya itu bukan sahaja diharapkan akan mewarisi saham malah bertindak juga sebagai pengarah urusan iaitu orang yang akan menguruskan syarikat.  

 

Jika perbalahan berlaku di antara keluarga pertama dan keluarga kedua sehingga melibatkan proses mahkamah yang mampu menjejaskan operasi syarikat, semua pihak-pihak di atas akan terjejas.

 

Pekerja yang berpengalaman dan berbakat akan hilang kepercayaan untuk terus bekerja. Bank dan pembekal juga akan berada dalam keadaan sukar jika kepimpinan baru Syarikat yang terjebak di dalam isu harta pusaka gagal memberikan persepsi bahawa masa hadapan Syarikat akan kekal positif.

 

Penyelesaian yang saya berikan kepada sahabat saya ini ialah gunakanlah dokumen HIBAH bagi menghibahkan saham perniagaan itu kepada anak perempuan sulungnya.

 

Pastikan semua rukun dan syarat terlaksana disempurnakan dengan baik. Hibah ke atas saham syarikat akan menyebabkan ia terkeluar daripada harta pusaka dan tidak boleh dituntut oleh waris mengikut hukum faraid.  

 

Wasiyyah Shoppe Berhad boleh membantu kerana kami penyedia hibah yang paling berpengalaman di Malaysia semenjak 21 tahun yang lepas.

 

Mahu dividen? Ini caranya:

Jika dia mahukan pula hasil daripada perniagaan itu seperti dividen diagihkan oleh anak perempuan sulung kepada waris-waris yang lain mengikut formula tertentu, dia boleh mengaplikasi kaedah amanah. Wasiyyah Shoppe Berhad juga boleh membantu bagi tujuan ini.

 

Kaedah pewarisan saham At-Tijarah yang diperkenalkan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad semenjak tahun 2014 telah membantu lebih daripada 300 orang usahawan/pengasas perniagaan untuk tujuan pewarisan saham dan perniagaan.

 

Perintah pengesahan hibah bagi saham syarikat ini telahpun kami peroleh semenjak tahun 2017 lagi melalui satu kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.

 

Isu pewarisan saham syarikat ini sangat kompleks akibat dinamika perniagaan. Dalam pengalaman saya, saham syarikat ialah harta pusaka yang paling susah untuk diwariskan.

 

 Walaupun semua waris mengikut hukum faraid berhak ke atas saham itu, namun tidak semua yang berkebolehan meneruskan perniagaan.

 

Nilai saham dan eko sistem yang berubah-ubah daripada tahun ke tahun juga memberikan cabaran yang tidak sedikit. Ia sememangnya memerlukan seorang yang berpengetahuan tinggi, berpengalaman dan faham selok-belok syarikat bagi mewarisi legasi perniagaan yang ditinggalkan.

 

Namun segala-galanya akan bermasalah jika pewarisan saham ini gagal dirancang dengan baik oleh usahawan/pengasas perniagaan ketika dia masih hidup. Wasiat tidak boleh membantu bagi tujuan ini.

 

Pesanan saya kepada semua usahawan/pengasas perniagaan di luar sana, bertindaklah sekarang untuk mendapatkan perkhidmatan At-Tijarah Wasiyyah Shoppe Berhad bagi memastikan legasi perniagaan anda berterusan.

 

Semenjak terlibat di dalam industri ini dari 1998, saya telah melihat dengan mata sendiri begitu banyak peniagaan milik orang Islam musnah apabila usahawan/pengasasnya meninggal dunia akibat isu pewarisan saham.

 

Adakah anda mahukan perniagaan anda juga berakhir begitu ? Jika jawapan anda ialah “TIDAK” bertindaklah hari ini. - DagangNews.com

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd