Ramadan adalah masa terbaik untuk merancang harta, mengurus pusaka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ramadan adalah masa terbaik untuk merancang harta, mengurus pusaka

Oleh Ariffin Sabirin

Alhamdulillah! Allah SWT sampaikan kembali kita ke bulan Ramadan tahun ini.

 

Pastinya kita semua berazam agar Ramadan tahun ini ialah Ramadan terbaik untuk kita. Meningkatkan kualiti puasa disamping menambah amal ibadat akan sentiasa menjadi prioriti kita setiap kali sampainya bulan yang mulia ini.

 

Soalan sama yang diajukan kepada saya saban tahun setiap Ramadan juga sama iaitu adakah Ramadan waktu yang terbaik untuk merancang harta kita dan menguruskan harta pusaka ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

 

Dari catatan rekod kami semenjak 20 tahun lepas, memang Ramadan ialah waktu kami paling sibuk memenuhi permintaan umat Islam merancang harta, mengendalikan akad hibah dan juga menguruskan harta pusaka ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

 

Kenapa ‘trend’ begini terjadi? Tiada penyelidikan ilmiah dibuat tentang topik ini namun di dalam pemerhatian saya ada beberapa faktor menyebabkan keadaan ini berlaku.

 

Faktor pertama ialah kerana pada bulan Ramadan dalam keadaan perut lapar, hati yang tenang dan dekat dengan Allah SWT, kita lebih terbuka untuk bertindak ke arah kebaikan termasuklah termasuklah merancang harta kita mengikut kaedah Syariah ; membuat hibah, wasiat dan lain-lain instrumen.

 

Ketika berpuasa, hati kita amat cenderung untuk berbelanja bagi apa sahaja aktiviti yang pada pandangan kita akan mendapat keredhaan Allah SWT. Kerana itu kita dapat melihat aktiviti sedekah dan amal jariah amat banyak dilakukan pada waktu ini.

 

Pada bulan Ramadan inilah, kita tidak merasa ‘kedekut’ untuk mengeluarkan sebarang perbelanjaan kerana kita mengejar ganjaran berganda yang dijanjikan Allah SWT. 

 

 

wasiyyah

 

 

Mengeluarkan perbelanjaan untuk merancang harta juga merupakan salah satu daripada aktiviti ke arah kebaikan dan mencapai redha Allah SWT apabila diniatkan sedemikian rupa. Apabila kita merancang  harta, ia merupakan manifestasi tanggungjawab kita terhadap harta yang kita miliki dan tanggungjawab kepada waris-waris kita.

 

Kita merancang kerana kita mahukan harta itu dapat diturun milik dengan cepat dan tepat tanpa membebankan waris. Kita juga mahukan harta kita menjadi asbab pengukuhan silaturrahim waris-waris seterusnya mengelakkan mereka dari terjebak di dalam fitnah perbalahan harta pusaka selepas ketiadaan kita kelak.

 

Insya-Allah jika diniatkan segala tindakan ini kerana Allah SWT, kita akan mendapat ganjaran yang setimpal.    

 

Berbeza dengan keadaan jika kita tidak berpuasa dan hati kita dihambat dengan segala urusan keduniaan, kita merasakan berbelanja untuk merancang harta ini tidak menjadi keutamaan.

 

Sentiasa ada perkara lain yang menjadi prioriti berbanding perancangan harta. Kita mungkin tahu apa kepentingan merancang harta tetapi kita selalu menangguhkannya kerana sentiasa merasakan ada perkara lain yang lebih penting.   

 

Faktor kedua ialah kerana masa lapang yang terhidang pada bulan Ramadan ini  lebih banyak. Kerana masa kita tidak dipenuhi dengan pelbagai acara keraian atau makan-makan bersama rakan-rakan, keluarga atau aktviti perniagaan, kita boleh meluangkan masa untuk mendengar penerangan isu-isu perancangan  harta.

 

Menjadi satu perkara biasa untuk daie-daie Wasiyyah Shoppe Berhad mengendalikan pelbagai ceramah pada waktu rehat pejabat (office break) tengahari di merata pejabat di seluruh Malaysia.        

 

 

faraid

 

 

Faktor ketiga ialah kerana bulan Ramadan ini waktu di mana ahli keluarga mudah untuk berkumpul bagi berbuka puasa bersama. Menjadi amalan masyarakat kita di dalam bulan Ramadan ini untuk berkumpul sesama keluarga berbuka puasa, solat berjemaah dan bertahlil bersama.

 

Waktu ini ialah peluang keemasan yang boleh digunakan untuk ibubapa berbincang mengenai hasrat perancangan harta mereka kepada anak-anaknya. Ini juga waktu yang paling sesuai untuk mengendalikan sesi majlis akad hibah.

 

Panggil saja lebih daripada 3,000 orang daie Wasiyyah Shoppe Berhad yang ada di seluruh Malaysia. Mereka boleh datang ke rumah bagi menerangkan secara terperinci urusan perancangan harta atau mengendalikan sesi akad hibah ini.    

 

Dalam waktu biasa (bukan Ramadan), kesempatan berkumpul sesama ahli keluarga ini mungkin agak sukar ditemui. Semua orang sibuk dengan urusan masing-masing seperti percutian, pekerjaan dan aktiviti sosial yang lain.   

 

Faktor keempat yang menjadikan Ramadan sebagai bulan yang paling tepat untuk berbincang tentang harta pusaka ahli keluarga yang telah meninggal dunia pula ialah kerana puasa mendidik hati kita menjadi lembut dan boleh bertolak-ansur.

 

Apabila perbincangan tentang harta pusaka dibuat pada bulan Ramadan, titik kompromi itu lebih mudah dicapai. Semua waris lebih terbuka untuk berkompromi. Formula agihan harta pusaka lebih mudah dicapai.

 

Sepanjang pengalaman 27 tahun saya di dalam bidang ini, faktor kompromi dan tolak-ansur merupakan faktor terpenting yang memastikan urusan harta pusaka berjalan lancar. Melalui proses perundangan untuk menuntut harta itu sebenarnya jauh lebih mudah berbanding dengan mengurus emosi waris jika mereka tidak boleh berkompromi.

 

Nasihat saya kepada semua rakyat Malaysia di luar sana, gunalah kesempatan Ramadan ini bukan sahaja untuk meningkatkan amal ibadat kita, tetapi juga untuk mengambil inisiatif merancang harta atau menguruskan harta pusaka ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

 

 

parafrasa

 

 

Peluang seperti ini hanya hadir sekali dalam setahun. Belum tentu lagi kita akan bertemu dengan Ramadan yang akan datang.  

 

Bukankah Allah SWT telah menjanjikan ganjaran berganda untuk semua kebaikan yang kita buat di bulan Ramadan ini?

 

Merancang harta supaya waris-waris kita mendapat manfaat daripadanya itu juga merupakan satu kebaikan. Menguruskan harta pusaka ahli keluarga yang telah meninggal dunia juga merupakan satu kebaikan. Sambarlah peluang yang terhidang di bulan mulia ini. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd