Lestarikan Warisan Orang Asli Lanoh di Lembah Lenggong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lestarikan Warisan Orang Asli Lanoh di Lembah Lenggong

Dua wanita dari masyarakat Orang Asli Lanoh di Perak. - Gambar ihsan Commerce Dot Com
Oleh NINOT AZIZ

Taman Warisan Dunia Lembah Lenggong merupakan salah satu tapak arkeologi paling unggul di Malaysia membongkar sejarah 2 juta tahun yang lampau. 

 

Di sinilah 'Perak Man' rangka manusia lengkap pertama di Asia Tenggara ditemui, menjadi bukti sejarah sains perubatan dari kehidupan pribumi. 

 

Sebenarnya kita mempunyai tanggungjawab bersama memulihara dan melestarikan pencapaian dan keilmuan dari orang asal dan pribumi, khazanah warisan yang tidak ternilai. 


 

hikayat

 


Di Kampung Air Bah, Lembah Lenggong, puak Lanoh hidup aman damai dengan alam sekitar, memulihara cara hidup yang hampir pupus bersama rahsia masa silam. 

 

Pada satu masa dahulu, puak Lanoh ini telah menyusut sehingga hampir pupus sama sekali.  Kini, mereka meneruskan cara hidup dań membina semula puak mereka yang kini mencecah kira-kira 300 orang. 

 

Dalam arus dunia serba moden ini bukan sesuatu yang mudah. Cabaran ini termasuk kurangnya mereka yang masih mempraktikkan kraf tradisi, ilmu seni bina, dan penyembuhan serta pengenalan dan pengumpulan herba dan akar daun ubat-ubatan.

 

Orang Lanoh sebenarnya menggelar diri mereka sebagai "orang Menik Semnam", iaitu mereka yang datang dari sungai Semnam. 

 

Pada zaman dahulu, mereka tinggal di hutan sebagai pemburu dan pengutip tumbuhan dan buahan, serta pernah menjalani kehidupan nomadik, menggunakan gua sebagai tempat berteduh. 

 

Kini, mereka mempunyai pelbagai pekerjaan dan ada antara mereka yang merupakan pakar pengawal hutan dan render dan malim hutan, sesuai dengan kepakaran dan gaya hidup orang Lanoh. 

 

Mereka menguasai rahsia hutan, merawat banyak penyakit seperti kencing manis, dan mengurangkan tekanan darah tinggi secara semulajadi dengan menggunakan pelbagai herba dan akar hutan. 

 

Amalan etnobotani menggunakan herba ubatan, herba masakan, herba aromatik, dan herba suci dalam amalan mereka adalah satu tradisi dan ilmu yang tidak ternilai.

 

Kearifan tempatan dan kemahiran ini adalah hasil pemerhatian ratusan tahun yang harus kita ambil manfaat darinya sebelum ia terus hilang ditelan zaman.

 

 

hikayat
Gambar oleh Tajuddin Nur

 


Kepentingan Bahasa Lisan sebagai Kekunci Ilmu dan Warisan

Bahasa lisan puak Lanoh merupakan kekunci pengetahuan dan segala rahsia kearifan lokal hutan belantara yang mesti dipertahankan supaya tidak lupus sama sekali. 

 

Bahasa Lanoh adalah dari keluarga bahasa Austroasia, terutamanya dalam keluarga Aslian dan cawangan Senoic. 

 

Warisan bahasa ini menempatkan Lanoh sebagai orang asal di Semenanjung Tanah Melayu, di mana puak Lanoh telah hidup mengembara secara nomad dan kemudian menetap di pantai barat terutamanya di Perak selama berabad-abad.

 

Kepercayaan dan pandangan alam (world view) puak Lanoh berkait rapat dengan alam semula jadi, yang dibentuk selama beberapa abad melalui kepercayaan dan amalan tradisional. 

 

Pemahaman mereka berpaksi kepada penghormatan yang mendalam terhadap hutan hujan belantara, yang bukan sekadar habitat semulajadi tetapi juga sebagai sumber rezeki, ubat-ubatan, dan semangat kerohanian.

 

Puak Lanoh ternyata sangat menghormati alam dan persekitaran. Hubungan dengan alam ini mempengaruhi kehidupan harian dan ritual mereka, menekankan kepentingan harmoni dengan alam sekitar dan semangat yang berdiam di dalamnya.

 

Sebagai sebahagian daripada komuniti Orang Asli di Semenanjung, puak Lanoh berkongsi persamaan dengan kumpulan etnik asli lain sambil mengekalkan identiti budaya mereka yang unik. 

 

Amalan tradisional mereka, termasuk berburu, mengutip, dan perubatan tradisional, bukan sekadar mengekalkan cara hidup mereka tetapi juga berfungsi sebagai jatadiri warisan budaya dan kerohanian.

 

Secara amnya, bahasa dan pandangan alam puak Lanoh menawarkan gambaran tentang kekayaan budaya dan hubungan rumit antara bahasa, warisan, dan spiritual yang membentuk identiti masyarakat Lanoh dan mesti diperkasa dan dipulihara supaya tidak terus menghilang. 

 

Interaksi bersama Dunia Luar

Untuk memastikan Puak Lanoh ini dapat bertahan dan terus berkembang di era moden ini, adalah penting untuk masyarakat secara am lebih mengenali, memahami, sedar menyokong kesinambungan komuniti puak Lanoh. 

 

Melalui kerjasama dan saling membantu, puak Lanoh ini dapat memanfaat ilmu dan kepakaran yang diwarisi, serta kraf tradisi mereka. 

 

Salah satu aspirasi membantu puak Lanoh ini datang dari gabungan kepakaran pihak pengurusan Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDC) dan Yayasan Bambusa berinteraksi dengan masyarakat suku Lanoh. 

 

 

hikayat

 

 

Di bulan Ramadan, mereka telah ke Kampung Air Bah untuk sama-sama meraikan Ramadan yang mulia. Malah ini merupakan salah satu dari aktiviti dan program yang telah dijalankan beberapa bulan.

 

Mereka mendapat kepercayaan puak Lanoh di sini melalui siri aktiviti dan interaksi yang mendalam untuk menyokong aktiviti sosial dan ekonomi mereka. Ini adalah kunci untuk membina hubungan dengan suku Lanoh. 

 

Aktiviti pembangunan ekonomi puak Lanoh termasuk menggalakkan pengeluaran, pembungkusan, dan penjualan produk makanan di kemudahan R&R terdekat, pengeluaran produk anyaman dan tumbuhan sebagai hiasan, yang semuanya menanamkan penghargaan terhadap estetika semulajadi dari hutan.

 

Inisiatif yang mampan dan inklusif  menanamkan persekitaran sokongan bagi komuniti Orang Asli. Contohnya, semasa bulan Ramadan, CDC telah ‘turun padang’ demi berkongsi pendidikan agama yang inklusif, dan penyediaan sokongan berterusan selepas Ramadan. 

 

Sebagai sebuah syarikat, CDC melihat ini bukan sekadar sebagai program bantuan CSR  tetapi sebagai pelaburan dalam pembangunan insan. Ia membina pemimpin yang prihatin tentang komuniti sosial, menggalakkan inovasi diterajui perasaan belas dan ihsan, dan membina budaya syarikat yang berteraskan keprihatinan sejagat.

 

Menyokong puak Lanoh bukan sekadar tentang memelihara warisan—ia selari dengan aktiviti membentuk individu yang lebih baik dan berwawasan dalam organisasi sendiri. 


 

hikayat

 


Ini adalah komitmen masa depan terhadap kelestarian, pertumbuhan bersama, dan pembinaan komuniti yang memberi manfaat kepada keseluruhan yang terlibat dan juga membina modal insan dan nurani mereka yang terbabit.

 

Segala usaha ini berjaya menanamkan rasa keterikatan, keberadaan dan pertumbuhan kerohanian dalam komuniti, memastikan bahawa perjalanan, pengembaraan dan hala tuju puak Lanoh di dunia ini disokong dan diraikan oleh masyarakat sekeliling mereka demi kelestarian cara hidup yang sarat dengan ilmu yang masih terahsia. - DagangNews.com

 

 
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara 2025/2026 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA