Hikayat FANDOM: Dari E-Dagang ke Usahawan Sosial - Aspirasi membawa hikayat Melayu ke persada dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hikayat FANDOM: Dari E-Dagang ke Usahawan Sosial - Aspirasi membawa hikayat Melayu ke persada dunia

Oleh NINOT AZIZ

Berdiri di tengah-tengah kota Istanbul, saya menghirup udara yang tidak pernah jauh dari Laut Bosphorus. Museum of Innocence yang terletak di Çukurcuma daerah Beyoğlu, membuat saya kagum dengan iltizam dan intipati penulis Turkiye, Orhan Pamuk merealisasi bukunya dalam sebuah muzium.

 

Novel tebal Museum of Innocence yang baru dibeli di Istanbul dicap dengan tanda rama-rama untuk masuk secara percuma. Saya terpegun melihat barisan buku karya Orhan Pamuk memenuhi rak setinggi dua tingkat, di kedai buku dalam muzium tersebut.

 

 

Museum of Innocence

 

Museum of Innocence

 

 

Semua buku ditulis penulis pemenang anugerah Nobel itu ada dalam pelbagai bahasa. Saya nekad pada saat itu ingin membuka galeri buku  khas untuk hikayat Melayu di Kuala Lumpur dan membawa hikayat ke persada dunia. 

 

Alhamdulillah, dua tahun sudah berlalu sejak Galeri Seni dan Buku Hikayat Fandom di GMBB di KL ditubuhkan pada bulan Februari 2023. Pada tahun sebelumnya kami melancarkan Hikayat Fandom pada dengan pertunjukkan pertama, “Hikayat Fandom Art, Book & Cultural Showcase” di MaTIC.

 

Makyung menjadi tema utama kisah Bentala Naga yang dipentaskan Fatimah Abdullah, Rosnan Rahman dan Hani diikuti wayang kulit, syair dan taridra. Hikayat Fandom yang ditubuhkan sebagai perniagaan dalam talian pada tahun 2021 mengorak langkah ke perniagaan runcit. 

 

Pada tahun berikutnya, dunia hikayat diperluaskan lagi dengan Hikayat Fandom Folklore World untuk menjadi pusat berlipur lara, ‘Storytelling Centre’ di mana setiap bulan, tukang cerita pelbagai genre berkongsi kisah cerita rakyat seperti Seri Gumum Tasik Chini, Legenda Bidasari dan Puteri Santubong di sini.

 

 

parafrasa

 

 

Inilah juga markas Storyteller Guild dengan sokongan JKKN, MBBY, MANOPA, dan Persatuan Lisan Negara yang memberi penghargaan kepada ‘Storyteller’ Malaysia yang kini telah dianugerah kepada:

1. Fatimah Abdullah (Tokoh Makyong)

2. Hj Mukhti Md Rais (Tokoh Wayang Kulit Jawa)

3. Cikgu Ean (Penulis, Tukang Cerita dan Ilustrator buku kanak kanak dan komik)

4. Ummi Sham (Tukang Cerita)

 

Hikayat Fandom sememangnya ditubuhkan bertujuan memperkasa, memelihara dan mempromosi hikayat dan cerita rakyat serta warisan seni budaya bangsa. Ia mencerminkan niat untuk menonjolkan kekayaan sastera dan legenda kita kepada rakyat Malaysia dan dunia melalui penerbitan dan seni budaya berkualiti. 

 

Namun produk kami, walaupun berkualiti, terlalu sedikit kerana kami mengambil masa untuk menerbitkan karya dan ilustrasi terbaik. Cabaran kewangan sentiasa menjadi masalah yang mesti dihadapi dengan strategi yang berkesan. 

 

Kami perlu membuat sesuatu yang berlainan supaya Hikayat Fandom boleh menonjol untuk terus ‘survive and thrive’ di dunia industri buku yang penuh pancaroba. Salah satu strategi adalah untuk menubuhkan pasukan serasi yang sama-sama ingin memperkasa budaya dan sastera dan menerbitkan buku bertaraf dunia. 

 

Kedua, mendapatkan bantuan untuk terus berkarya sebaik mungkin memperkasa seni, budaya dan sastera. 

 

Usahawan Sosial

Pasukan Hikayat Fandom mempercayai pelbagai bakat dari ekonomi gig. Pelajar yang bekerja pada musim cuti serta ilustrator free-lance setia bersama Hikayat Fandom beberapa tahun dari dalam dan luar negara. Kami bekerjasama dengan ibu tunggal, OKU dan guru yang telah bersara penuh ilmu yang masih perlu dikongsi. 

 

Mereka ini adalah antara yang terbaik dalam industri dan telah mencurahkan segalanya untuk memperkasa hikayat. Pastinya ini satu perjuangan bersama yang menguatkan semangat. Tanpa mereka, pasti penerbitan kami bukan seperti yang ada sekarang, memberi gambaran sejelas mungkin tentang dunia yang hampir hilang.

 

Hasilnya, setiap tahun kami berjaya menghasilkan buku berkualiti dan dianugerah Majlis Buku Kebangsaan sebagai 50 Buku Terbaik Malaysia tahun 2020, 2022 dan 2024. 

 

 

hikayat

 

 

Kolobrasi dan Pengenalan Antarabangsa

Bermula dengan antologi DRAGONLORE, ensiklopedia KEPULAUAN MELAYU  dan terkini antologi cerita rakyat Asia Tenggara PENGLIPUR LARA | A Rhapsody of SEA Folklore bersama Persatuan Sastera Lisan, Hikayat Fandom mengambil serius memperluas rangkaian jaringan dan kepercayaan penerbit dan penulis antarabangsa.

 

Kami menghimpunkan penulisan dari pelbagai negara dengan Hasilnya, buku Hikayat Fandom telah mula diterjemah ke bahasa Itali, Jerman dan Mandarin antara lain. 

 

Pada masa yang sama, pada tahun ini, buku DRAGONLORE | From East and West bakal diabadikan di bulan di bawah projek LUNAR CODEX melalui penerbangan POLARIS. Selain itu tiga sajak dari antologi The DVerse International Anthology of Poetry dan satu dari  The Polaris Trilogy telah diabadikan pada pelancaran Lunar Codex pada 15 Januari baru-baru ini. 

 

Inilah perjalanan kami meletakkan Malaysia di persada antarabangsa. 

 

Pesta Buku Kebangsaan dan Antarabangsa

Tahun ini kita melihat bagaimana Pesta Kelah Buku, Bazar Buku di Kuala Kubu dan KL Alternative Bookfest (KLAB) di Pasar Seni merancakkan kalendar industri buku. Ini kali ketiga mengambil bahagian dalam KLAB dan ternyata ia amat berbaloi untuk memperkenalkan karya tahun sebelumnya. 

 

Buat masa ini semua penerbit sedang bertungkus lumus menyediakan buku-buku untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025. Di sini Hikayat Fandom sedang menyiapkan lima penerbitan iaitu:

1. BEYOND THE MALAY ARCHIPELAGO An Encyclopaedia of Ancient Southeast Asian Kingdoms

2. PENGLIPURLARA | A Rhapsody of Southeast Asian Folklore 

3. NAGA - Legenda Agung Tasik Chini (Versi Novel) 

4. THE MIND GLADIATOR - Poems and Prose of a Mad Genius by Mus Kamal

5. Terbitan semula - Mutiara Kata Alam Melayu

 

Mutiara Kata Alam Melayu memetik kebijaksanaan 1400 tahun Dunia Melayu, memaparkan kebijaksanaan raja abad ke-7 Yang Dapunta Sri Jayanasa, HAMKA, Syed Naquib Al Attas, Allahyarham Ungku Aziz, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Jose Rizal serta peribahasa dan pantun kita. 

 

Kita berpesta buku!


Hikayat Living - Nostalgia Collection

Pada tahun ini, salah satu lagi strategi mempelbagaikan produk terhasil. Kami memperkenalkan Hikayat Living, koleksi santai perhiasan rumah yang melestarikan gaya hidup yang penuh nostalgia.

 

Ini mungkin di skala kecil tahun ini, tetapi dengan pelan pemasaran yang betul, ia boleh membantu meningkatkan pendapatan.

 

 

hikayat

 

 

Tambahan pula, ia memberikan satu lagi cara menghayati dunia hikayat. Penjenamaan begitu penting dan inilah cara kami cuba meningkatkan profil. 

 

Sepanjang tahun 2024 saya sempat  memberikan beberapa pembentangan dan temubual - satu sesi bersama PENA, moderator di wacana ILMU di Yayasan Hasanah, perkongsian folklor di Tinta Budi, TTDI, satu bersama PNM dan Karya Raya Jambi, satu temubual di radio BFM, dan dua temubual di Bernama TV untuk berkongsi rahsia 2000 tahun kepulauan Melayu.

 

Dan baru-baru ini perkongsian WALINONG SARI di Folklore Fest bersama Eugene Foo dan Honey Ahmad. Terima kasih kepada semua rakan media yang terus menyokong saya dan Hikayat Fandom. 

 

Apakah perancangan 2025 dan 2026? Sudah tentu kami ingin ke terus menjadi sebahagian dari naratif mendunia di Malaysia. 

 

Yang penting, kami ingin terus membawa dunia Hikayat semakin jauh. Folklore atau sastera lisan kita amat kaya dan tahun ini kami ingin meneroka alam digital menggabungkan muzik dan sastera lisan.

 

 

hikayat

 

 

Cita-cita sendiri ingin menghasilkan buku puisi yang sudah terkumpul dari belasan tahun masih belum tercapai. Kembara Leyla juga akan mengambil sedikit masa untuk dihabiskan kerana terpaksa mencari ilham di Turkiye sekali lagi nampaknya. 

 

Terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Majlis Buku Kebangsaan, Kota Buku, Think City, Istana Budaya, MaTIC, MyCreative Ventures dan Persatuan Sastera Lisan, Patriots Asia dan GMBB atas segala sokongan. 



 

Semoga tercapai segala impian. - DagangNews.com

 
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA