Ekonomi Malaysia berkembang tetapi kos kehidupan makin mahal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia berkembang tetapi kos kehidupan makin mahal

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi antara 4.5% hingga 5.2% pada tahun 2025. Angka ini akan diraikan kerajaan sebagai simbol kejayaan dasar ekonomi negara.

 

Persoalan utamanya, siapakah yang benar-benar menikmati hasil daripada pertumbuhan tersebut?

 

Pada dasarnya, ekonomi berkembang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

 

Realitinya, pertumbuhan yang diumumkan ini tidak seiring dengan kehidupan sebenar rakyat. Jika ekonomi benar-benar kukuh, mengapa majoriti rakyat masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi?

 

Mengapa para graduan masih terpaksa menerima pekerjaan bergaji rendah tanpa perlindungan sosial?

 

Separuh Pertama 2025: Di Sebalik Naratif Positif

Separuh pertama tahun 2025 akan menyaksikan pelbagai naratif positif ekonomi dicanangkan kerajaan. Pelaburan asing, khususnya dalam sektor teknologi dan semikonduktor, dijangka meningkat hasil daripada perang perdagangan antara AS-China. Di atas kertas, perkembangan ini memberikan gambaran bahawa Malaysia sedang memanfaatkan peluang global.

 

Hakikat sebenar yang kurang diperjelaskan adalah negara ini terus bergantung kepada model ekonomi lama berasaskan tenaga kerja murah. Tanpa strategi jelas bagi memastikan pemindahan teknologi kepada industri tempatan, Malaysia sekadar menjadi pengguna teknologi asing, bukannya pencipta. Hasilnya, rakyat tempatan terpaksa kekal dengan pekerjaan yang menawarkan gaji rendah serta prospek masa depan yang samar.

 

Dalam masa sama, kerajaan akan mengumumkan inflasi terkawal sekitar 1.8% hingga 2.2%. Angka ini kelihatan stabil, tetapi rakyat terus terbeban dengan harga barangan keperluan yang melonjak tinggi, termasuk makanan, perumahan, dan pengangkutan. Statistik rasmi mungkin cantik di atas kertas, tetapi kehidupan rakyat biasa semakin sukar setiap hari.

 

Kadar pengangguran rasmi diumumkan rendah pada tahap 3.1%. Tetapi, jenis pekerjaan apakah yang diwujudkan oleh ekonomi kita? Realitinya, majoriti graduan universiti terpaksa menerima pekerjaan dalam sektor gig seperti penghantaran makanan atau perkhidmatan e-hailing yang tidak memberikan kestabilan pendapatan mahupun perlindungan sosial. Ini bukan gambaran kejayaan ekonomi, tetapi tanda kegagalan struktur ekonomi negara.

 

Nilai ringgit yang kekal lemah sekitar RM4.50 hingga RM4.60 berbanding dolar AS pula memburukkan lagi situasi ini. Barang import menjadi lebih mahal, memberi tekanan berterusan terhadap kehidupan harian rakyat.

 

Separuh Kedua 2025: Tekanan Hidup Kian Terasa

Bermula Julai 2025, cabaran ekonomi akan menjadi lebih serius apabila kerajaan melaksanakan fasa kedua rasionalisasi subsidi bahan api. Harga petrol dan diesel akan meningkat secara mendadak, seterusnya melonjakkan kos pengangkutan serta harga barang keperluan asas.

 

Sebagai tindak balas segera, kerajaan mungkin akan memperkenalkan bantuan tunai sekali bayar untuk meredakan kemarahan rakyat. Bagaimanapun, langkah populis ini sekadar memberi kelegaan sementara dan tidak pernah menyelesaikan punca sebenar tekanan kos hidup yang dihadapi rakyat. Ia hanya menangguhkan masalah tanpa penyelesaian struktural yang jelas.

 

Pada masa sama, kelemahan ringgit dijangka berterusan sepanjang separuh kedua 2025, meningkatkan lagi kos import dan menambah tekanan kepada pengguna. Tanpa polisi ekonomi domestik yang kukuh, rakyat Malaysia akan terus menjadi mangsa kepada ketidaktentuan ekonomi global.

 

IKER: Metrik Baru Mengukur Kesejahteraan Rakyat

 

Untuk mengatasi isu ini, Malaysia memerlukan metrik baru yang lebih relevan daripada KDNK, iaitu Indeks Kesejahteraan Ekonomi Rakyat (IKER). Indeks ini terdiri daripada lima indikator utama:

 

  1. Kos Hidup Seimbang: Berapa ramai rakyat mampu memenuhi keperluan asas tanpa hutang?
  2. Kualiti Pekerjaan: Adakah pekerjaan baru berkualiti dengan pendapatan stabil?
  3. Akses Rumah Mampu Milik: Bolehkan rakyat membeli rumah tanpa terbeban hutang jangka panjang?
  4. Keupayaan Menyimpan: Berapa ramai boleh menyimpan sekurang-kurangnya 20% pendapatan bulanan?
  5. Mobiliti Sosial: Adakah golongan miskin mampu meningkatkan taraf hidup dalam tempoh sedekad?

 

Ke Arah Dasar Ekonomi yang Lebih Inklusif

Malaysia perlu segera memperkenalkan gaji minimum progresif yang benar-benar seiring dengan kos sara hidup semasa, supaya rakyat tidak sekadar bertahan tetapi mampu menyimpan untuk masa depan.

 

Sistem pendidikan tinggi juga mesti dirombak secara total, memastikan graduan yang dihasilkan benar-benar relevan dengan keperluan automasi dan ekonomi digital. Negara harus mencipta teknologi, bukan hanya menggunakan teknologi asing.

 

Kerajaan wajib menyediakan perlindungan sosial lengkap untuk pekerja sektor gig seperti insurans kesihatan dan caruman persaraan, memastikan keselamatan hidup mereka terjamin secara jangka panjang.

 

Pelaburan besar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan perlu dipergiat segera. Pemindahan teknologi daripada pelabur asing wajib dijadikan syarat utama kemasukan pelaburan ke Malaysia, memastikan industri tempatan berkembang secara mandiri.

 

Polisi fiskal pula perlu dirombak supaya lebih adil melalui cukai progresif terhadap syarikat besar yang menikmati keuntungan besar, dan segera menghentikan ketirisan subsidi yang selama ini menguntungkan golongan elit sahaja.

 

Pertumbuhan Ekonomi Untuk Siapa?

Di Malaysia, pertumbuhan ekonomi disambut seperti festival kebangsaan — cukup sekadar graf menaik dan jargon ekonomi, maka semua masalah rakyat dianggap selesai secara automatik, tanpa perlu turun ke pandang untuk melihat realiti.

 

Tatkala rakyat merungut tentang harga barang dan pekerjaan yang tidak setimpal, naratif rasmi masih tekun mengulang bahawa semuanya sedang “berada di landasan yang betul”.

 

Maka, tidak menghairankan jika statistik KDNK disanjung lebih tinggi daripada suara rakyat di pasar malam atau penjaja gigih di atas motosikal. Yang penting, angka naik. Realiti? Nanti dulu.

 

Jika kita terus mengukur kejayaan ekonomi hanya melalui unjuran pertumbuhan yang digubah rapi, maka kita tidak lebih daripada negara Excel – lebih cemerlang di spreadsheet, tapi gagal di dapur rumah rakyat.

 

Ekonomi seperti ini bukan untuk manusia, tetapi untuk mesyuarat lembaga dan laporan pelabur asing.

 

Sudah tiba masanya Malaysia bertanya semula: adakah kita membina ekonomi untuk memperkayakan persepsi, atau untuk memperbaiki kehidupan sebenar? - DagangNews.com

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat