Kolej UNITI dan Majlis Ulama Indonesia jalin kerjasama bangunkan industri halal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kolej UNITI dan Majlis Ulama Indonesia jalin kerjasama bangunkan industri halal

Amir Hamzah (dua dari kiri) dan Muti menunjukkan dokumen persetujuan persefahaman yang ditandatangani sambil diperhatikan oleh Muhamad Elyas (kiri) dan Muslich di Bogor, Jawa Barat.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Kolej UNITI Port Dickson memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Ulama Indonesia (MUI) dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan latihan industri halal yang berlangsung di Gedung Halal Global, Jawa Barat hari ini.

 

Menurut Kolej UNITI Port Dickson, kerjasama menerusi Lembaga Penyelidikan Makanan, Ubat-ubatan dan Komestik MUI (LPPOM-MUI)  turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka pelbagai program perkongsian kepakaran melibatkan tenaga pengajar dalam menjalankan latihan industri halal.

 

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC), Muhamad Elyas Harun manakala, LPPOM-MUI pula diwakili oleh Ketua Pengarah, Muti Arintawati dan Pengarah Kerjasama Halal dan Perkhidmatan Audit, Dr. Muslich. 

 

Amir Hamzah berkata, menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan berkongsikan kepakaran serta pengalaman sekaligus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem dan agenda halal global.

 

Katanya, Kolej UNITI merupakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia yang pertama menawarkan program pengajian halal secara formal iaitu Diploma Pengurusan Industri Halal. 

 

"Sebagai pihak yang mempunyai reputasi unggul dan berpengalaman luas dalam pensijilan halal Indonesia, LPPOM-MUI pula bakal menawarkan kepakaran dalam bidang penyelidikan berkaitan halal dan perundingan yang berkaitan," ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau juga menerangkan kerjasama itu merupakan langkah susulan selepas kerjasama strategik bersama Universiti Institut Pertanian Bogor (IPB) yang dimeterai pada 20 Ogos 2022 lalu.

 

"IPB University melalui Pusat Sains Halal yang mempunyai kepakaran yang meluas dalam penyelidikan dan pengauditan pensijilan halal Indonesia juga merupakan tulang belakang penubuhan LPPOM-MUI pada 1989," kata beliau.

 

Dalam pada itu, Muti berkata, sinergi kedua-dua pihak akan memberi manfaat bukan sahaja kepada industri halal tempatan di Malaysia dan Indonesia tetapi juga di peringkat antarabangsa. 

 

“LPPOM-MUI mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam pensijilan halal Indonesia dan kami berkeyakinan sinergi pintar bersama Kolej UNITI Port Dickson dan UHAC ini akan memberi impak kepada industri halal global," ulas beliau. 

 

Beliau juga mengharapkan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa khususnya dari Indonesia untuk menyambung pengajian dalam bidang halal di Kolej UNITI.- DagangNews.com