KUALA LUMPUR 10 April - Syarikat perkhidmatan hartanah, Knight Frank Malaysia dan PropertyGuru menjalin kerjasama untuk menambah baik proses penilaian massa bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada institusi kewangan di Malaysia.
Melalui kerjasama ini, Knight Frank Malaysia memperkenalkan 'AMASe – Advanced Mass Appraisal Solutions ‘electronically’, penyelesaian penilaian hartanah massa yang direka khas dan disokong oleh teknologi proprietari daripada PropertyGuru For Business.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Knight Frank Malaysia, Sarkunan Subramaniam berkata, pihaknya sentiasa mengadaptasikan penyelesaian hartanah inovatif supaya mampu memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.
Katanya, kerjasama bersama PropertyGuru membolehkan pihaknya merintis penyelesaian baharu dan meningkatkan prestasi melalui kepakaran, data dan inovasinya.
"Kami amat teruja berpeluang untuk bekerjasama dengan PropertyGuru untuk memenuhi dan melebihi objektif industri sambil memberi pengalaman pelanggan yang lebih lancar.
"Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kaedah penilaian kami, kami akan terus meneroka peluang untuk memanfaatkan alat tersebut untuk impak maksimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengurus Besar Penyelesaian Data dan Perisian PropertyGuru, Joe Thor pula berkata, dengan kepakaran dalam data dan teknologi hartanah, pihaknya dapat membantu Knight Frank dalam penilaian hartanah secara massa sebagai proses yang lancar melalui kerjasama mereka.

Katanya, pihaknya juga percaya bahawa permintaan untuk perkhidmatan ini akan meningkat, kerana ramai pakar tempatan masih bergantung pada kaedah tradisional yang memerlukan masa yang lebih panjang untuk menilai aset hartanah.
"Penyelesaian yang sama telah digunakan di banyak negara maju, dan kami berharap untuk terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan dari industri yang berbeza untuk memacu perkembangan dalam ekosistem hartanah melalui data intuitif, cerapan dan perisian pintar," katanya.
Kerjasama antara Knight Frank Malaysia dan PropertyGuru dijangka dapat memudahkan proses penilaian hartanah secara massa melalui penilaian semula blok aset hartanah.
Pelanggan Knight Frank Malaysia dapat mencuba inovasi terkini dalam industri hartanah pada bulan hadapan. - DagangNews.com








