Kinergy Advancement raih kontrak RM31 juta daripada Mah Sing | DagangNews Skip to main content

Kinergy Advancement raih kontrak RM31 juta daripada Mah Sing

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Dis - Kinergy Advancement Berhad (KAB) telah memperoleh kontrak bernilai RM31 juta bagi menjalankan kerja-kerja elektrik di pembangunan kediaman M Nova milik Mah Sing Group Bhd di Kepong.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, penyedia rumusan tenaga lestari dan kejuruteraan sehenti itu berkata ia merupakan kontrak kedua bernilai RM30 juta bagi bulan November, meningkatkan nilai buku pesanan tertunggak kumpulan sebelum tahun ini berakhir.

 

KAB berkata ia akan menjadi subkontraktor bagi menjalankan kerja-kerja elektrik, telefon dan voltan lebih rendah untuk projek apartmen servis tiga blok tersebut.

 

Projek itu akan mempunyai sejumlah 2,080 unit yang akan dibina dalam dua fasa, dengan fasa pertama terdiri daripada menara A dan menara B masing-masing sebanyak 624 unit, dan fasa kedua bagi menara C dengan baki 832 unit kediaman.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata selain menguatkan buku pesanan kumpulan, projek ke-13 untuk Mah Sing itu turut mengukuhkan lagi kerjasama mereka.

 

 

Datuk Lai Keng Onn
Datuk Lai Keng Onn

 

 

Jelasnya, ia menunjukkan kepercayaan dan keyakinan yang dimiliki oleh Mah Sing terhadap keupayaan dan kepakaran KAB.

 

“Selain kepakaran teknikal, Mah Sing dan syarikat kami juga komited terhadap pembangunan lestari, perniagaan bertanggungjawab dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

“Komitmen bersama ini akan membolehkan kami bekerjasama secara berkesan dalam mencipta projek yang bukan sahaja memenuhi standard kualiti tertinggi tetapi juga menyumbang secara positif kepada usaha mewujudkan ekosistem lestari dan mementingkan ESG,” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.

 

Menurut KAB, pemilihan kumpulan sebagai vendor untuk projek pembangunannya membolehkan Mah Sing menggabungkan data jejak karbon KAB yang seterusnya menyumbang secara langsung kepada penyahkarbonan Mah Sing sendiri bagi rantaian bekalannya.

 

Setakat pukul 2:30 petang ini, saham KAB telah menokok 0.5 sen atau 1.4% kepada 36.5 sen, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM710 juta.  - DagangNews.com