Keuntungan Co-opbank Pertama meningkat 20% kepada RM103.4 juta, tertinggi dalam sejarah | DagangNews Skip to main content

Keuntungan Co-opbank Pertama meningkat 20% kepada RM103.4 juta, tertinggi dalam sejarah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun - Co-opbank Pertama (CBP) mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang tertinggi sebanyak RM103.4 juta, iaitu tertinggi sejak penubuhan institusi perbankan tersebut sejak 1950.

 

Pengerusinya, Datuk Baharom Embi berkata, peningkatan keuntungan itu melonjak sebanyak 20% berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM86.1 juta.

 

Katanya, peningkatan keuntungan itu dipacu dengan pembiayaan peribadi, Ar Rahnu dan juga Pembiayaan Perumahan di samping pembiayaan koperasi dan korporat yang membantu terhadap keuntungan CBP bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2022.

 

"Selain itu, CBP juga mencatatkan peningkatan aset yang tertinggi iaitu sebanyak RM7.73 bilion sehingga 31 Disember 2022 berbanding RM6.07 bilion pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 28%," katanya dalam kenyataan.

 

Baharom berkata, pengumuman dividen akan diumumkan dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan dan persetujuan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

"Kita telah mencadangkan pembayaran dividen kepada SKM dan ianya akan diumumkan dalam masa terdekat. 

 

 

cbp
                                                        Datuk Baharom Embi

 

 

"Insya-Allah kadar dividen yang dicadangkan kepada SKM adalah kompetitif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi sepanjang tahun lalu dan seiring dengan keuntungan yang telah dicapai pada tahun 2022," katanya. - DagangNews.com