KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kesan jangka pendek daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api kepada Petronas Dagangan Berhad dijangka tidak seteruk seperti yang diramalkan pasaran, kata Kenanga Research.
Menurut firma penyelidikan itu, kajian kes yang relevan adalah dengan melihat pasaran Indonesia ketika subsidi petrol dikurangkan pada tahun 2015 yang masih menyaksikan jumlah jualan petrol tetap meningkat saban tahun.
Kata Kenanga Research, daripada jualan 470,000 tong sehari pada 2015, jumlahnya meningkat secara beransur-ansur kepada 670,000 tong sehari pada tahun 2023.
"Sebelum ini terdapat kebimbangan mengenai prospek Petronas Dagangan apabila kerajaan mengumumkan penyasaran subsidi diesel pada Julai 2024 bagi membendung penyeludupan di sepanjang sempadan utara Semenanjung Malaysia.
"Namun, kami percaya kesan jangka pendek terhadap jumlah keseluruhan jualan diesel Petronas Dagangan mungkin lebih sederhana daripada yang dijangkakan oleh pasaran," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan saranan 'Outperform' dengan harga sasaran (TP) Petronas Dagangan disemak turun 11% kepada RM21.20 sesaham.
"Keputusan kewangan separuh pertama 2024 (1HFY24) Petronas Dagangan berada dalam anggaran kami dan pasaran.
"Peningkatan kos operasi, tahun ke tahun, mengakibatkan pendapatan teras yang lebih rendah untuk 1HFY24. Kami mengurangkan harga sasaran DCF kami sebanyak 11% kepada RM21.20 selepas meningkatkan WACC (kos berat odal purata) kami untuk mengambil kira ketidakpastian masa berkaitan rasionalisasi subsidi RON95," jelasnya.
Kenanga Research dalam pada itu menggemari Petronas Dagangan kerana perniagaannya yang sangat menjana tunai yang diterjemahkan kepada keupayaan tinggi untuk membayar dividen.
"Faktor lain (yang digemari) ialah penilaian (18.7x) yang berada pada -1SD (sisihan piawai) di bawah purata 5 tahun kerana pasaran mungkin telah terlalu memperbetulkan kesan negatif rasionalisasi subsidi dan peningkatan hasil dari bahagian kemudahan yang semakin berkembang berikutan permintaan yang lebih kuat untuk Café Mesra," ujarnya.
Petronas Dagangan dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia pada 20 Ogos 2024 menyatakan yang untung bersihnya meningkat kepada RM276.39 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding RM275.71 juta tahun lepas, disumbangkan oleh keuntungan kasar yang lebih tinggi untuk semua segmen yang mengimbangi peningkatan dalam perbelanjaan mengurus.
Hasil pula meningkat 10% tahun ke tahun kepada RM9.84 billion daripada RM8.91 bilion sebelumnya, didorong oleh peningkatan jumlah jualan dan harga jualan purata 5.0%.
Sementara itu, keuntungan bersih Petronas Dagangan bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24), susut kepada RM502.43 juta daripada RM577.55 juta, tetapi hasil meningkat 10% kepada RM19.23 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas sebanyak RM17.56 bilion.
Petronas Dagangan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 20 sen sesaham untuk suku kedua, berjumlah RM198.69 juta, yang akan dibayar pada 18 September 2024.- DagangNews.com








