Kesan penyasaran subsidi diesel, cukai perkhidmatan kecil, Maybank IB turunkan unjuran inflasi kepada 2% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kesan penyasaran subsidi diesel, cukai perkhidmatan kecil, Maybank IB turunkan unjuran inflasi kepada 2%

Ayam tidak lagi diberikan subsidi, namun harganya kini lebih rendah berbanding beberapa bulan lalu. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Kesan penyasaran subsidi diesel serta perluasan skop kadar cukai perkhidmatan dengan perubahan kadar kepada 8% terhadap inflasi setakat ini agak kecil, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Sehubungan itu, ditambah dengan kemungkinan tiadanya rasionalisasi subsidi RON95 tahun ini, firma penyelidikan itu mengurangkan ramalan inflasi penuh tahun 2024 kepada 2.0%, berbanding 2.4% sebelum ini.

 

"Ini dengan anggapan subsidi pukal petrol RON95 masih kekal dan harganya tidak berubah pada RM2.05 seliter untuk baki tahun ini. 

 

"Pada masa yang sama, kami kini meramalkan inflasi dalam julat 2.5%-3.0% untuk 2025 (berbanding 3.0% sebelum ini), memandangkan ketidakpastian mengenai masa, kuantum, dan mekanisme rasionalisasi subsidi RON95, yang kini kami anggap akan berlaku tahun depan," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Mengambil contoh pengapungan harga diesel di pasaran runcit Semenanjung Malaysia daripada RM2.15 seliter sebelum ini, Maybank IB berkata, ini disebabkan kerajaan masih memberikan harga subsidi kepada pengangkutan dalam sektor tertentu termasuk para nelayan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Harga pengguna Malaysia naik 2% pada Julai, sama seperti kadar Jun — DOSM

 

"Selain itu, berat rendah diesel dalam bakul barangan dan perkhidmatan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 0.2% (berbanding 5.5% untuk petrol) bermakna kesan langsung rasionalisasi subsidi diesel yang disasarkan terhadap inflasi adalah kecil.

 

"Walaupun demikian, perkara yang perlu diperhatikan adalah kesan susulan terhadap harga barang dan perkhidmatan lain dalam bulan-bulan akan dating," jelasnya.

 

Berkenaan kesan perluasan skop kadar cukai perkhidmatan dengan perubahan kadar daripada 6% kepada 8% mulai 1 Mac 2024, Maybank IB berkata, kesannya adalah ringan.

 

"Ini seperti ditunjukkan oleh inflasi perkhidmatan (Julai 2024: +2.3% tahun ke tahun; 2Q 2024: +2.2% tahun ke tahun; 1Q 2024: +2.0% tahun ke tahun; 7 bulan 2024: +2.1% tahun ke tahun; 2023: +3.1%).

 

"Ia memandangkan kadar cukai untuk perkhidmatan F&B dan telekomunikasi kekal pada 6%, serta pengecualian untuk perkhidmatan logistik terpilih (contohnya, ejen pengangkutan; pengangkutan, gudang, terminal pelabuhan, dan pengendali lori konvensional) serta perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan hartanah kediaman," ujarnya. - DagangNews.com