Kerjaya Prospek rekod untung bersih sebanyak RM29.4 juta bagi 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek rekod untung bersih sebanyak RM29.4 juta bagi 1QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kerjaya Prospek Group Berhad melaporkan untung bersih sebanyak RM29.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) di atas hasil sebanyak RM297.2 juta. 

 

Segmen pembinaan menyumbang sebanyak 99.6% bagi suku berkenaan dan merupakan penyumbang utama hasil kumpulan itu.

 

Trend itu dijangka berterusan pada masa hadapan.

 

Pada 31 Mac 2023, kunci kira-kira kumpulan kekal kukuh dengan tunai bersih sebanyak RM260.2 juta dan nisbah semasa sebanyak 3.7 kali.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, pihaknya memulakan tahun kewangan dengan prestasi kewangan yang membanggakan sebagai mengiktiraf usaha kami dalam mendapatkan kontrak pembinaan walaupun kos bahan mentah meningkat dan persekitaran perniagaan kadar faedah yang tinggi.

 

Katanya, kumpulan itu baru-baru ini memperoleh dua kontrak baharu daripada BBCC Development Sdn. Bhd. dan Tanjung Pinang Development Sdn. Bhd., menjadikan kemenangan kontrak tahun sehingga kini kepada RM533.4 juta.

 

"Dengan tempahan tertunggak yang kukuh sebanyak RM4.5 bilion (setakat 31 Mac 2023), kami percaya ia akan memberikan kami keterlihatan kewangan dalam tempoh tiga tahun akan datang sementara kami membuat tender untuk lebih banyak kontrak pembinaan untuk meningkatkan lagi keuntungan.

 

"Kami menjangkakan 2023 menjadi tahun yang lebih baik berbanding 2022 dengan penyambungan semula sepenuhnya aktiviti pembinaan dan kekurangan tenaga kerja asing akan dapat diselesaikan pada suku ketiga tahun ini," katanya.

 

Kumpulan itu akan melancarkan projek pembangunan baharunya, Yakin Land Development menjelang akhir 2023. - DagangNews.com