KUALA LUMPUR 14 Julai - Joanne Lee dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Kerjaya Prospek Property Bhd bermula 13 Julai.
Joanne, 53, mempunyai pengalaman profesional lebih tiga dekad dalam beberapa industri, iaitu pembangunan hartanah, pembinaan, pembuatan, makanan dan minuman, hospitaliti, peruncitan, permainan dan riadah, serta penjagaan kesihatan dan pertanian.
“Bersama-sama dengan pasukan pengurusan, beliau akan menerajui pertumbuhan dan evolusi kumpulan, menyediakan strategi transformasi yang mantap untuk memacu lebih banyak nilai dan pulangan,” kata Kerjaya Prospek Property dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sebelum ini, Joanne pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat pemaju hartanah Tropicana Corp Bhd.
Menurut kumpulan itu, beliau telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pengembangan Tropicana sejak 2010.
“Dengan sokongan pasukan pengurusan Tropicana, beliau mengetuai bahagian pemasaran dan jualan serta bahagian pembangunan perniagaan dengan menerajui semua jualan, pemasaran dan pembangunan perniagaan secara strategik aktiviti tempatan dan antarabangsa.
“Kualiti kepimpinan, ketangkasan dan pandangan jauh beliau menyumbang kepada penjagaan pelanggan dan latihan penglibatan serta peningkatan jenama dan kempen pemasaran,” tambahnya.
Beliau juga pernah menjandang jawatan Ketua Perolehan untuk IGB Bhd, Pengurus Besar Nam Fatt Marketing Sdn Bhd, serta Ketua Pegawai Operasi Bahagian Makanan dan Minuman di TT Resources Bhd.
Lee memiliki ijazah dalam pentadbiran perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan ahli Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Malaysia (MIPMM) dan Persatuan Pengedar Bahan Binaan Malaysia.
Pada waktu penulisan, saham Kerjaya Prospek Property didagangkan pada 66 sen, turun 1 sen atau 1.5% dengan modal pasaran bernilai RM264 juta. - DagangNews.com








