Kerjaya Prospek catat untung bersih RM132 juta pada FY23, isytihar dividen 2 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek catat untung bersih RM132 juta pada FY23, isytihar dividen 2 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Feb - Kerjaya Prospek Group Berhad mencatat keuntungan bersih RM132 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23), meningkat 15% daripada RM114.8 juta tahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat pembinaan itu turut melonjak 30% kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.1 bilion dengan pendapatan sesaham (EPS) kumpulan menokok kepada 10.49 sen daripada 9.18 sen.

 

Bahagian pembinaan terus menjadi penyumbang utama, yang membentuk 97.9% daripada pendapatan kumpulan pada FY23, berjumlah RM1.4 bilion berbanding RM1.1 bilion pada tahun sebelumnya, didorong oleh kemajuan aktiviti pembinaan yang bertambah baik.

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 2 sen sesaham, yang akan dibayar pada 5 April 2024.

 

Jumlah dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham untuk 2023 ialah 8 sen sesaham, iaitu bersamaan RM100.9 juta. Berdasarkan harga penutup RM1.68, dividen setahun penuh sesaham memberikan hasil kira-kira 4.7%.

 

Bagi suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) pula, keuntungan bersih Kerjaya Prospek naik 25% kepada RM35.7 juta daripada RM28.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan melonjak 71.4% kepada RM489 juta berbanding RM285 juta sebelumnya. 

 

Menurut kumpulan itu, kunci kira-kiranya setakat 31 Disember 2023 kekal sihat dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM167.2 juta dan nisbah semasa sebanyak 3.4 kali.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berharap kejayaan yang dicapai pada 2023 dapat dicapai pada 2024 juga, disokong oleh sasaran penerimaan kontrak bernilai RM1.5 bilion dan mengekalkan rekod prestasi kukuh yang menguntungkan. 

 

“Kerjaya Prospek akan mengekalkan tradisinya untuk meneruskan projek pembangunan secara terpilih yang memberikan pulangan lumayan dan pada masa yang sama, memberi tumpuan kepada kemajuan projek yang sedang berjalan dengan buku pesanan tertunggak sebanyak RM4.2 bilion setakat 31 Disember 2023. 

 

“Setakat ini, kami telah memperoleh kontrak tambahan bernilai lebih RM377.8 juta. Ini akan memberikan kami permulaan yang baik untuk tahun kewangan 2024 ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Beliau turut berkongsi perkembangan projek Papyrus @ North Kiara yang akan dilancarkan pada suku pertama 2024 dan menjangkakan ia meningkatkan pendapatan bahagian pembangunan hartanah yang akan terus mempertingkatkan pendapatan Kerjaya Prospek. - DagangNews.com