Kerjasama teknologi digital Enviro, Disrupt-X dijangka jana pelaburan dan pendapatan sehingga AS$100 juta dalam tempoh 5 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama teknologi digital Enviro, Disrupt-X dijangka jana pelaburan dan pendapatan sehingga AS$100 juta dalam tempoh 5 tahun

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Enviro Group Asia, penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan teknologi di Malaysia, bersama perintis rumusan internet kebendaan (IoT) dan syarikat digital, Disrupt-X memeterai memorandum persefahaman (MoU) di Pameran Teknologi Maklumat Teluk (GITEX) Global 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Enviro, Nitesh Malani berkata, kerjasama itu akan menyaksikan kedua-dua pihak memacu inovasi dan kemajuan teknologi di rantau ASEAN, dengan rancangan pengembangan ke Oceania pada masa hadapan.

 

"Kerjasama ini dijangka menjana pelaburan dan pendapatan sepanjang tempoh dari 2024 hingga 2028 sebanyak AS$50 juta hingga AS$100 juta," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, pemeteraian MoU itu itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan 4 hari di UAE.

 

Kerjasama itu merangkumi spektrum luas inisiatif, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan peranti, kerjasama dengan pengeluar tempatan Malaysia, pemindahan teknologi, dan program latihan komprehensif.

 

Ia bertujuan meningkatkan kemahiran bakat tempatan dengan sokongan padu daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)  dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Ketua Pembangunan Perniagaan Disrupt-X, Rajpall Singh pula berkata, pihaknya dan Enviro sangat komited untuk mewujudkan dunia yang lebih mampan dan berhubung. 

 

"Kami berhasrat untuk memacu visi kedua-dua syarikat dalam memupuk inovasi teknologi dan meningkatkan kemampanan alam sekitar di seluruh rantau ini," katanya.

 

Disrupt-X dan Enviro Group memilih Malaysia sebagai hab pusat untuk operasi dan pengembangan mereka di rantau ASEAN dan Oceania. 

 

Keputusan strategik ini mengukuhkan komitmen mereka kepada komuniti tempatan dan meletakkan Malaysia sebagai pusat teknologi dan inovasi di rantau ini. - DagangNews.com