KUALA LUMPUR 23 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB), dalam satu lagi langkah penting untuk memacu tenaga boleh baharu (TBB) berskala besar selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak untuk meneroka potensi sistem solar terapung di sekitar kawasan Skim Hidroelektrik, Empangan dan Takungan Sungai Perak.
Dalam usaha selari di bawah projek Taman Solar NETR, TNB bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri Perak, Majuperak Holdings Berhad (MHB) untuk membangunkan projek taman solar dengan kapasiti 100 megawatt (MW) di negeri itu.
Pertama, kerjasama strategik TNB melalui anak syarikat milikan penuh, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Manakala kerjasama kedua adalah antara satu lagi anak syarikat milikan penuhnya, TNB Renewables Sdn Bhd (TRe) dan MHB.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen kolektif untuk menyegerakan peralihan Malaysia kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan, sejajar dengan objektif NETR.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din berkata, usaha berwawasan ini adalah selari dengan NETR yang bertujuan untuk memacu Malaysia ke arah masa depan bersumberkan tenaga yang lebih bersih dan mampan.
"Kerjasama strategik dengan entiti Kerajaan Negeri Perak menandakan komitmen kolektif untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga mesra alam," katanya.

Kedua-dua kerjasama itu dirasmikan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) semasa Persidangan Peralihan Tenaga 2023 yang diadakan pada Ogos lalu, dengan masing-masing menjurus ke arah meningkatkan portfolio TBB Malaysia dan dalam masa yang sama mengurangkan pelepasan karbonnya.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama TNB Genco-PKNPk, Baharin berkata, inisiatif perintis ini bakal memberi sudut pandang baharu tentang penjanaan tenaga kerana kedua-dua pihak akan memulakan kajian kebolehlaksanaan yang meluas untuk pembangunan sistem Solar Fotovoltaik Terapung (FSPV).
Tempoh masa dua tahun untuk kajian komprehensif ini jelas menunjukkan keazaman TNB Genco dan PKNPk terhadap bidang TBB sejajar inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Dengan memanfaatkan kuasa teknologi hibrid, khususnya hidro dan FSPV, objektif kami adalah untuk menyokong sasaran TBB negara dengan menggunakan tanah dan air yang sedia ada secara cekap," jelas Baharin.
Bagi kerjasama TRe-MHB, Baharin berkata, Perak telah dikenal pasti sebagai salah satu negeri yang berpotensi untuk pembangunan ini, dengan MHB diamanahkan sebagai entiti kerajaan negeri untuk menjayakan inisiatif ini.
"Perjanjian MoU ini menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi kedua-dua pihak untuk meneroka kebolehlaksanaan pembangunan Taman Solar NETR dan solar terapung di Perak.
"TRe bersedia untuk membangunkan projek solar 100 MW di lima tapak di beberapa negeri di bawah projek Taman Solar NETR. Projek itu akan dimiliki secara bersama oleh TRe sebagai pemaju induk serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan agensi negeri." tambahnya lagi.
Siri kerjasama strategik TNB ini mencerminkan dedikasinya untuk mengubah landskap tenaga Malaysia, memajukan TBB, dan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan mampan. - DagangNews.com







