Kerajaan tidak bercadang laksana semula GST buat masa ini - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tidak bercadang laksana semula GST buat masa ini - Tengku Zafrul

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA SELANGOR 27 Okt - Kerajaan tidak bercadang melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) buat masa ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan GST memerlukan perbincangan di peringkat Kabinet dan dibentangkan di sidang Parlimen, lapor Berita Harian.

 

Beliau mengakui, GST adalah antara mekanisme terbaik dalam usaha menambah pendapatan negara, lebih-lebih lagi ia turut dilaksanakan di lebih 160 buah negara.

 

"Ia terbukti lebih baik bagi membolehkan negara menjana pendapatan lebih stabil dan pengurusan cekap dan berkesan.

 

"GST juga lebih efisien dan mengurangkan ketirisan, selain membantu membangunkan sesebuah negara, seterusnya membantu kehidupan rakyat," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Hari Keluarga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kuala Selangor, di sini.

 

Tengku Zafrul berkata, ketika ini, kutipan cukai negara kurang 11% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu paling rendah di Asia Tenggara berbanding tahun sebelum ini.

 

Bagaimanapun, katanya, ia bukan bermakna GST akan dilaksanakan semua di negara ini.

 

"Dalam jangka masa panjang, apa yang penting ia bukan membebankan rakyat, sebaliknya untuk membangunkan negara," katanya. - DagangNews.com