Kerajaan setuju tingkatkan peruntukan latihan kemahiran kepada penghantar - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan setuju tingkatkan peruntukan latihan kemahiran kepada penghantar - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan dengan 24 syarikat pengendali p-hailing di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 8 Ogos 2023 - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) penghantar yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri berkata, ia diputuskan selepas mengadakan perjumpaan dengan 24 syarikat pengendali perkhidmatan parcel hailing (p-hailing) susulan komitmen yang beliau berikan semasa perjumpaan bersama rakan-rakan penghantar pada 22 Julai lalu.

 

Anwar berkata, beliau telah menyampaikan keluhan penghantar terkait dengan isu kadar upah penghantaran.

 

Katanya, perbincangan antaranya berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran. 

 

"Saya turut mendengar pandangan dan aduan daripada syarikat pengendali yang beroperasi di luar Lembah Klang yang tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar.

 

"Kesemua syarikat pengendali telah memberikan komitmen untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah serta meneliti dan memperhalusi lebih lanjut akan pandangan daripada pihak penghantar berhubung penentuan dan pengiraan kadar upah. 

 

"Penelitian lanjut ini penting, bahawa dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

anwar

 

 

Tambah Anwar, ikhtiar ini membuktikan kerajaan peka dan mengambil berat akan kepentingan semua pihak dalam meningkatkan penjanaan pendapatan rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan.

 

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Menteri Komunikasi dan Digital, Menteri Sumber Manusia serta pegawai kanan kementerian turut hadir dalam sesi tersebut.

 

 

anwar

 

 

anwar

 

 

Semasa sesi itu, lima wakil daripada penghantar turut hadir bagi menyatakan pandangan dan mendengar maklum balas pihak syarikat. - DagangNews.com