PUTRAJAYA 13 Okt - Kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap strategi pemulihan yang lebih menyeluruh dan inklusif dengan berpaksikan kebajikan rakyat secara bersasar, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, ia perlu menjadi agenda utama pihak kerajaan dan pada masa sama tidak boleh lagi berfikir dan bertindak mengikut cara lama.
"Sebaliknya, perlu ada rasa tergesa-gesa dan kerajaan mesti berusaha untuk berbuat lebih banyak untuk rakyat di tengah-tengah kesempitan ekonomi yang kita hadapi sekarang. Ia adalah mengenai memastikan kehidupan dan mata pencarian rakyat, dan kita mesti memastikan bahawa setiap keluarga mempunyai makanan yang mencukupi di atas meja.
"Tanggungjawab memacu proses pemulihan negara memerlukan sinergi dan pendekatan seluruh negara dengan keterlibatan semua pihak daripada kerajaan, swasta, pakar industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan segenap lapisan masyarakat," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin.
Muhyiddin yang juga Pengerusi MASA berkata, tidak dinafikan situasi ekonomi di peringkat global bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada ekonomi negara, bahkan turut menjejaskan kelangsungan hidup rakyat.
Beliau berkata, semasa tempoh pandemik, seluruh dunia berdepan gangguan rantaian bekalan akibat kekangan logistik.

"Konflik perang Rusia-Ukraine telah menjejaskan rantaian bekalan makanan di Eropah yang impaknya mengakibatkan ketidaktentuan dalam keseluruhan pasaran global. Ini memberi tekanan kepada turun naik harga minyak dan komoditi termasuk bijirin.
"Semua ini secara tidak langsung telah mendorong kepada kenaikan harga barangan pengguna di seluruh dunia yang kesannya turut dirasai di Malaysia. Keadaan ini diburukkan lagi dengan peningkatan kadar inflasi dan kos sara hidup serta kejatuhan nilai ringgit yang semakin membebankan rakyat," katanya.
Berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Muhyiddin berkata, kadar inflasi Malaysia pada bulan Ogos 2022 telah meningkat kepada 4.7% berbanding 4.4% pada bulan Julai 2022.

"Inflasi makanan terus menjadi penyumbang utama kenaikan kadar inflasi pada 7.2% berbanding 6.9% pada bulan sebelumnya.
"Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang secara positif, realitinya situasi sebenar ekonomi negara buat masa ini amat mencabar. Laporan terkini Bank Dunia pada September 2022 mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia disemak naik daripada 5.5% kepada 6.4%, namun pada tahun 2023, pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan turun kepada 4.2% daripada 4.5%.
"Pakar ekonomi turut meramalkan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun hadapan. Malaysia juga tidak terkecuali. Ini akan menjejaskan prestasi hasil dan membataskan keupayaan perbelanjaan kerajaan dalam melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kepada rakyat seperti yang pernah dilaksanakan semasa tempoh pandemik," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, daripada segi pengangguran, Malaysia pernah mencatatkan kadar tertinggi pada 5.3%.
"Alhamdulillah, kadar itu berjaya diturunkan kepada 3.7% pada Julai 2022. Namun kita belum boleh menarik nafas lega kerana semua petunjuk pemulihan ini adalah bersifat sementara.
"Hakikatnya, negara kita bakal berhadapan dengan prospek ekonomi dunia yang lebih mencabar pada tahun hadapan termasuk kadar pengangguran yang dijangka meningkat dengan ketara," katanya. - DagangNews.com








